- Iklan -
Berita

Zahid Hamidi, William Leong antara nama terkenal dalam pendedahan ‘kekayaan di luar pesisir’

Mereka adalah antara 300 ahli politik di seluruh dunia yang muncul dalam 11 juta dokumen mengandungi butiran aset yang disimpan di negara luar pesisir.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Selayang William Leong dari PKR adalah antara ahli politik Malaysia yang muncul antara sekitar 11 juta dokumen yang dikaitkan dengan beberapa entiti luar pesisir bagi tujuan menyimpan aset bernilai ratusan juta dolar, menurut Malaysiakini berdasarkan dokumen dikenali sebagai “Pandora Papers”.

Dokumen-dokumen yang didedahkan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) juga menamakan ahli perniagaan seperti Mahmud Abu Bekir yang merupakan anak bekas ketua menteri Sarawak Taib Mahmud, Pengerusi Genting Group Lim Kok Thay, bekas jurubank dan kini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Yamani Hafez Musa, yang baru dilantik sebagai timbalan menteri kewangan yang juga anak bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan ibu bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut Malaysiakini, nama Zahid muncul dalam fail firma guaman Panama, Aleman, Cordero, Galindo & Lee atau Algocal, yang bertindak sebagai ejen firma bernama Breedon Limited di Kepulauan Virgin Britain.

Zahid dilantik sebagai pengarah firma tersebut yang ditubuhkan pada tahun 1996, pada tahun beliau memenangi jawatan ketua Pemuda Umno.

Nama syarikat itu kemudiannya ditukar menjadi Rising Resources (BVI) Ltd akhir tahun tersebut, sebelum ia tidak aktif dan dibatalkan.

Sementara itu, Leong yang merupakan ahli Parlimen Selayang, disenaraikan dalam laporan tersebut berikutan kaitannya dengan syarikat yang dikenali sebagai Collister Holdings Ltd, di mana beliau dan isterinya Alice menjadi pemiliknya pada 2009.

Peguamnya Loy Tuan Bee berkata kepada Malaysiakini ia berkaitan dengan peranan Leong sebagai naib presiden eksekutif dan COO Philippine National Steel Mill dari 1994 hingga 1997.

Beliau berkata semua aktiviti dilakukan secara sah sambil menambah syarikat itu tidak termasuk dalam pengisytiharan aset Leong kerana ia tidak lagi digunakan pada masa tersebut.

Zafrul pula disenaraikan sebagai pengarah sebuah bank butik yang diperbadankan di bawah bidang kuasa luar pesisir Labuan yang dikenali sebagai Capital Investment Bank (Labuan) Ltd.

Malaysiakini memetik seorang pembantu Zafrul yang berkata menteri kewangan itu tidak lagi memegang jawatan tersebut.

Mahmud Abu Bekir pula disenaraikan melalui kedudukannya sebagai pengarah syarikat BVI Rondinmass Incorporated, sebuah perniagaan yang dikendalikan keluarga.

Menurut laporan itu, syarikat tersebut ditubuhkan bagi memiliki hartanah komersial di Seattle, Washington yang dibeli melalui pinjaman dan bernilai AS$35 juta.

Dalam pada itu, Ibu bapa ahli perniagaan yang menjadi buruan Jho Low, Larry Low Hock Ping dan Goh Gaik Ewe, dikaitkan dengan dua syarikat, Coswell Corporation yang ditubuhkan di Kepulauan Virgin British pada 1991 di mana pasangan itu menjadi pemegang saham tunggal.

Coswell sepatutnya ditubuhkan bagi tujuan pelaburan hartanah di London.

Selain Coswell, mereka berdua turut terkait dengan Strategic Equities Ltd pula ditubuhkan untuk memegang saham pengeluar mesin industri yang ditubuhkan di Singapura dikenali sebagai Frencken Group Ltd.

ICIJ, organisasi wartawan di sebalik pendedahan tersebut, menegaskan di kebanyakan negara memiliki aset luar pesisir atau menggunakan syarikat proksi untuk perniagaan di luar negara tidaklah menjadi kesalahan.

Bagaimanapun, pendedahan seperti itu masih boleh memalukan para pemimpin yang mungkin berkempen secara terbuka kononnya menolak pengelakan cukai dan amalan rasuah.