- Iklan -
Berita

Ismail Sabri kurang pengalaman, ilmu berbanding Muhyiddin untuk jadi PM, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad memberikan pandangan berhubung tiga perdana menteri yang mentadbir negara selepas beliau meletak jawatan.

Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad ketika diwawancara Malaysianow di kediamannya yang terletak di Sri Kembangan.
Dr Mahathir Mohamad ketika diwawancara Malaysianow di kediamannya yang terletak di Sri Kembangan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kurang pengalaman dan ilmu untuk memimpin negara berbanding Muhyiddin Yassin, kata Dr Mahathir Mohamad yang sudah dua kali menduduki jawatan tertinggi negara itu.

Pemimpin negara yang pernah memegang jawatan nombor satu negara paling lama itu berkata Muhyiddin lebih banyak pengalaman berbanding Ismail kerana pernah menjawat jawatan di pelbagai kementerian termasuk timbalan perdana menteri sebelum dipecat pada tahun 2015.

“Muhyiddin mungkin ada pengalaman tapi Ismail Sabri baru kali ini jadi perdana menteri.

“Dia biasa jadi menteri jadi experience kurang, pengalaman kurang dan ilmu juga kuranglah dibandingkan dengan orang yang sudah biasa jadi perdana menteri, yang dah lengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahunan, performance mereka lebih baik,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.

Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos selepas Muhyiddin hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat selepas kumpulan kluster mahkamah yang diketuai oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menarik sokongan terhadapnya.

Sebelum menjadi perdana menteri, Ismail merupakan timbalan perdana menteri selama kurang dua bulan dan menteri kanan kluster keselamatan merangkap menteri pertahanan selama setahun lima bulan dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Sementara Muhyiddin sebelum menjadi perdana menteri pernah bertugas di pelbagai kementerian termasuk kementerian dalam negeri, kementerian pendidikan, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri, kementerian pertanian dan banyak lagi.

Muhyiddin juga pernah menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Mahathir dan Muhyiddin bersama-sama menubuhkan Bersatu pada 2016 sebagai penentangan terhadap Umno yang dipimpin oleh Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya menumbangkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Bagaimanapun kerajaan PH hanya kekal selama 22 bulan disebabkan desakan dalaman agar Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri untuk memberikan laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Peletakan jawatan Mahathir pada Februari 2020 menyebabkan kerajaan PH tumbang dan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin di mana Umno merupakan anggotanya.

Mahathir dan beberapa ahli Parlimen Bersatu tidak menyertai kerajaan PN dan menubuhkan Pejuang.