- Iklan -
Berita

Palestin sedia laksana proses damai dengan Israel, kata Mahmoud Abbas

Menurut presiden Palestin, persidangan antarabangsa perlu diadakan untuk perdamaian di Timur Tengah di bawah kerangka antarabangsa bagi mengakhiri pencerobohan Israel sekali gus menubuhkan Palestin berdasarkan sempadan 1967.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Palestin Mahmoud Abbas berucap dalam mesyuarat pimpinan PLO di ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat, Ramallah. Gambar: AP
Presiden Palestin Mahmoud Abbas berucap dalam mesyuarat pimpinan PLO di ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat, Ramallah. Gambar: AP

Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Isnin menyuarakan kesediaannya untuk melaksanakan proses damai dengan Israel berdasarkan resolusi antarabangsa.

Abbas berkata demikian pada pertemuan dengan Timbalan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hal Ehwal Israel dan Palestin Hady Amr di Ramallah, Tebing Barat, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Agensi Berita Palestin (Wafa).

“Persidangan antarabangsa perlu diadakan untuk perdamaian di Timur Tengah di bawah kerangka antarabangsa bagi mengakhiri pencerobohan Israel dan menubuhkan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.

“Situasi ketika ini tidak dapat diterima dan mahu tekanan diberikan kepada Israel untuk menghentikan tindakan mereka ke atas rakyat Palestin dan menamatkan aktiviti penempatan dan pencerobohan tanah Palestin,” kata Abbas.

Abbas pada Sabtu berkata sekiranya Israel enggan menerima prinsip penyelesaian dua negara, rakyat Palestin akan mencari pilihan lain, termasuk pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 1947, atau memilih menubuhkan negara demokratik.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin, yang disokong AS, telah tertangguh pada 2014 kerana pertikaian mengenai penempatan Israel dan pengiktirafan untuk mendirikan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.