- Iklan -
Berita

Wisma Putra panggil duta China, bantah pencerobohan di Laut China Selatan

Duta China ke Malaysia dipanggil Wisma Putra bagi menyatakan bantahan negara berhubung kegiatan negara itu di perairan Malaysia.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perairan Laut China Selatan menjadi konflik antara negara-negara Asia Tenggara selepas China memulakan aktiviti ketenteraan yang dianggap menceroboh wilayah maritim negara lain. Gambar: Bernama
Perairan Laut China Selatan menjadi konflik antara negara-negara Asia Tenggara selepas China memulakan aktiviti ketenteraan yang dianggap menceroboh wilayah maritim negara lain. Gambar: Bernama

Kementerian luar pada Isnin memanggil wakil Beijing ke Malaysia bagi menyatakan bantahan berhubung kapal China memasuki zon ekonomi maritimnya di Laut China Selatan.

Duta Besar China Ouyang Yujing dipanggil “bagi menyatakan pendirian dan bantahan Malaysia terhadap kehadiran dan aktiviti kapal dari China, termasuk kapal peninjau, di zon ekonomi eksklusif Malaysia”, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian luar mendakwa China melanggar undang-undang tempatan dan antarabangsa dengan kehadiran kapalnya di pesisir Sabah dan Sarawak.

Pertemuan pada Isnin adalah kali kedua kerajaan memanggil wakil Beijing tahun ini sebagai bantahan terhadap kegiatan China di perairan yang menjadi perebutan pelbagai negara itu.

Pada Jun, Putrajaya melancarkan pesawat untuk memintas 16 pesawat udara China yang melakukan penerbangan di pesisir Borneo melalui Laut China Selatan di mana ia merupakan wilayah yang didakwa berada dalam wilayah maritim kedua-dua negara.

Putrajaya turut menuduh China menceroboh kedaulatan negara, sementara Beijing berkata pesawatnya sedang melakukan rutin latihan.

Hubungan antara Malaysia dan China yang dilihat mesra terganggu dengan beberapa insiden yang menyebabkan ketegangan antara kedua-dua negara berhubung kawasan perairan tersebut, di mana ia merupakan kawasan yang laluan utama perkapalan selain dipercayai menyimpan hasil minyak dan gas.

“Malaysia sentiasa konsisten dengan pendirian kami di mana setiap tindakan adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa demi mempertahankan kedaulatan negara dan hak kedaulatan perairan kami,” kata kenyataan kementerian luar semalam.

Ia berkata Malaysia “turut membantah pencerobohan sebelumnya oleh kapal asing lain di perairan kami.”

China menuntut hampir seluruh Laut China Selatan dan turut membina beberapa pangkalan ketenteraan di pulau-pulau kecil di perairan tersebut.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan beberapa negawa lain yang turut menuntut perairan tersebut termasuk Vietnam, Filipina, Brunei dan Taiwan.

Amerika Syarikat juga menghantar kapal perang melalui perairan itu bagi menegaskan hak antarabangsa bagi kebebasan pelayaran di mana ia menimbulkan kemarahan China.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.