Spekulasi mulai beredar bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tertangguh mungkin akan diadakan pada November tahun ini di mana ia bakal menjadikan pilihan raya di negeri itu dijalankan secara serentak atau pada waktu berdekatan dengan Melaka, MalaysiaNow difahamkan.
Langkah tersebut memerlukan pembatalan darurat di Sarawak yang dijadualkan akan berakhir pada Februari tahun depan selepas diisytiharkan sebelum ini bagi menghalang pilihan raya diadakan ketika musim pandemik.
Tidak seperti negeri lain, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dipertandingkan secara berasingan daripada pilihan raya umum.
Tempoh lima tahun mandat kerajaan Sarawak sepatutnya berakhir pada 1 Ogos tahun ini dan pilihan raya sebelum ini dijangka diadakan dalam masa dua bulan selepas tarikh tersebut.
Namun, darurat pandemik di seluruh negara yang diproklamasi pada Januari lalu menyebabkan pilihan raya tidak dapat diadakan.
Satu sumber di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak untuk mengesahkan spekulasi tersebut namun berkata tidak mungkin dua pilihan raya negeri diadakan secara serentak.
Pilihan raya negeri Melaka bakal diadakan dalam tempoh dua bulan akan datang berikutan DUN Melaka dibubarkan semalam.
Pembubaran DUN tersebut berlaku selepas Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali dari Umno, kehilangan sokongan dari empat Adun termasuk dua dari Umno.
Penganalisis berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan parti kerajaan Sarawak yang dibentuk selepas kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 2018 dijangka sekali lagi akan memiliki kelebihan dalam pilihan raya akan datang berbanding pembangkang.
GPS yang terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) juga merupakan sekutu gabungan Perikatan Nasional yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Gabungan itu juga turut dilihat sebagai kingmaker dalam politik persekutuan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.