- Iklan -
Berita

Impian mustahil gadis tanpa kerakyatan di Sarawak

Kuntum yang berusia 14 tahun ingin menjadi guru apabila sudah dewasa namun dia tahu tanpa kewarganegaraan, dia mungkin tidak akan ke mana-mana.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Kuntum, 14, dan neneknya Juani di rumah mereka di sebuah kampung pesisir Sarawak.
Kuntum, 14, dan neneknya Juani di rumah mereka di sebuah kampung pesisir Sarawak.

Kuntum (bukan nama sebenar), duduk di atas bangku kayu di sebuah perkampungan pesisir kecil di Sarawak, gadis berusia 14 tahun itu berpura-pura menjadi seorang guru, bercakap dengan beberapa ekor kucing tentang apa yang mereka mahu jadi setelah dewasa kelak.

Apa yang dia tahu, dia mahu menjadi seorang guru.

Namun sebagai salah seorang daripada puluhan ribu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di negara ini, kemungkinan impian itu menjadi kenyataan adalah sangat kecil.

Kuntum yang bapanya seorang warga Malaysia, tinggal bersama datuk dan neneknya di sebuah rumah kayu kecil di Maludam.

Selama beberapa tahun, mereka berusaha untuk memohon kewarganegaraan untuk Kuntum, namun semua usaha tidak berhasil.

Percubaan demi percubaan ditolak walaupun beberapa kali cuba memohon.

Kuntum bermain dengan kucing-kucingnya di kawasan rumah.

Punca penolakan permohonan tersebut selalunya sama: kekurangan dokumentasi yang betul.

“Ada banyak borang yang perlu diisi, banyak perkara perlu dibuat untuk membuktikan dia dilahirkan di sini dan bersama kami sejak kecil,” kata nenek Kuntum, Juani, kepada MalaysiaNow.

“Ayahnya, anak saya, adalah warga Malaysia dan ibunya pula adalah warga Indonesia. Kuntum adalah anak mereka tetapi mereka belum berkahwin. Itulah sebabnya dia tidak dapat miliki kewarganegaraan.”

Tanpa kewarganegaraan, Kuntum tidak dapat menghadiri sekolah awam atau mengakses kemudahan asas seperti penjagaan kesihatan dan bantuan kerajaan.

Beberapa tahun mencuba dan setiap kali percubaan gagal meninggalkan kesan terhadap gadis muda itu, dia berhenti sekolah tiga tahun lalu bagi membantu datuk dan neneknya mencari nafkah setelah memerhatikan mereka berdua bergelut setiap hari untuk mencari nafkah dan menyediakan makanan di atas meja.

Kuntum kini bekerja selama lapan jam sehari di sebuah kedai runcit di kampung berhampiran, dia perlu membersihkan kedai dan menjaga rak barangan supaya sentiasa teratur.

Kadangkala dia terpaksa bekerja selama 10 jam dengan hanya memakai selipar dan mengangkat barangan yang berat bagi anak kecil seusianya.

Dengan bekerja, Kuntum memperoleh wang dari RM12 hingga RM24 sehari, bergantung berapa banyak kerja yang dapat disiapkan.

Dengan itu, setiap hari, dia dapat menambah pendapatan keluarga daripada upah kecilnya selain pendapatan datuknya, yang merupakan seorang mekanik bergaji RM500 sebulan.

Di waktu lapang, Kuntum bermain kad permainan bersama sepupunya di ruang tamu.

 

Selagi dia tidak mendapat status warganegara dan didokumentasi secara sah, rutin demikian akan menjadi kehidupan Kuntum bagi tahun-tahun mendatang.

Ibu Kuntum sudah lama pulang ke Indonesia, sementara bapanya pula enggan bertanggungjawab.

“Dia bahkan tidak faham peranan dia sebagai seorang bapa,” kata Juani.

“Dia jarang hubungi kami. Sekarang tinggal bersama isteri dan anak barunya di Simunjan.”

Menyedari usia cucunya yang semakin meningkat dewasa, keprihatinan utama Juani ketika ini adalah apa yang akan terjadi kepada cucunya setelah dia dan suaminya meninggal dunia.

“Kuntum sangat baik dan rajin. Tetapi apa yang akan terjadi padanya jika kami sudah tidak ada suatu hari nanti? Saya sangat risau akan masa depannya,” katanya.

Kuntum sendiri tahu dia tidak memiliki kewarganegaraan, namun gadis kecil itu tidak dapat melakukan apa-apa untuk memperbaiki keadaannya.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata harus belajar menerima nasib sebagai seseorang tanpa kerakyatan.

“Kadang-kadang kawan-kawan saya tanya, ‘mengapa kamu berhenti sekolah? Mengapa kamu tidak belajar?

“Saya jawab, sebab saya tak ada IC. Sekiranya kamu mahu saya pergi ke sekolah, bantu saya dapatkan IC dan setelah itu barulah saya boleh pergi.”

Walaupun nada kata-katanya itu terdengar keras, namun apa yang tersirat adalah kerisaua nyata tentang masa depannya.

Ketika Kuntum menggambarkan kekecewaannya, air mata mulai mengalir tumpah di pipi.

Mengusap air mata, suaranya perlahan mengungkap sebuah harapan yang sederhana: “Impian saya, satu hari nanti saya akan dapat kembali ke sekolah.”