- Iklan -
Berita

Anggota tentera laut jelaskan isu kapal selam

Beliau berkata kapal selam adalah bahagian penting persenjataan negara ketika perbahasan berterusan berhubung Aukus.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kapal selam buatan Perancis pertama Malaysia sampai di pangkalan tentera laut di Pelabuhan Klang pada 3 September 2009. Gambar: AFP
Kapal selam buatan Perancis pertama Malaysia sampai di pangkalan tentera laut di Pelabuhan Klang pada 3 September 2009. Gambar: AFP

Seorang anggota tentera laut yang melaksanakan kajian mengenai peperangan darat dan bawah laut menjelaskan kepentingan kapal selam dalam persenjataan negara, ketika perbahasan terus berlanjutan mengenai kesan geopolitik susulan pemeteraian perjanjian keselamatan antara Australia, UK dan AS baru-baru ini.

Leftenan Komander Farizha Ibrahim, seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia berkata kapal selam adalah jentera penting bagi mana-mana tentera laut.

“Harus dijelaskan setelah kapal selam sampai ke laut terbuka, memburu kapal itu akan menjadi tanggungjawab berat dan memerlukan banyak sumber,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kedua-dua jenis kapal selam, baik jenis nuklear atau diesel, memiliki persenjataan standard torpedo dan boleh menyerang kapal dan kawasan darat.

“Bahkan torpedo kapal selam juga telah ditambah baik dengan sistem homing (sonar) menggunakan teknik akustik atau wake homing,” tambahnya.

Kerjasama tiga hala yang dikenali sebagai Aukus ditandatangani pada pertengahan September bagi mengukuhkan kemampuan ketenteraan tiga negara itu dalam menghadapi persaingan yang semakin meningkat dari China, termasuk armada kapal selam nuklear Australia dan peluru berpandu.

Perjanjian tersebut menjadikan Australia sebagai negara kedua selepas Britain yang memperolehi teknologi kapal selam nuklear AS.

Pakatan itu juga menjadi topik perbahasan di Dewan Rakyat selain Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengusulkan lawatan kerja segera ke China bagi membincangkan pandangan Beijing mengenai perjanjian tersebut. Beliau juga turut menekankan betapa pentingnya keseimbangan kuasa.

China berkata rancangan tersebut sangat berisiko dan ia boleh merosakkan keamanan dan kestabilan wilayah, sementara Indonesia mengambil pendirian sama seperti Malaysia, memperingatkan bahawa pernjanjian itu akan menyebabkan persaingan senjata di wilayah tersebut.

Bagaimanapun, Filipina menyokong perjanjian tersebut sebagai cara untuk menjaga keseimbangan kekuasaan di wilayah tersebut.

Farizha, yang banyak memberikan syarahan mengenai navigasi, kemahiran perkapalan dan komunikasi maritim di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata walaupun operasi kapal selam bersifat rahsia, beberapa kejadian direkodkan penggunaannya sebagai platform untuk melancarkan peluru berpandu ke sasaran di kawasan darat.

Farizha memberikan contoh peluru berpandu Tomahawk turut dilancarkan dari kapal selam semasa Perang Teluk melawan Iraq.

Sementara itu, pada 2007, sebuah kapal selam China juga direkodkan muncul di tengah-tengah kumpulan kapal induk AS, memperlihatkan mereka sebagai tidak bersedia.

“Tentera Laut AS terkejut ketika kapal selam Song Class PLAN muncul di tengah-tengah kumpulan kapal pengiring yang mengawasi kapal pembawa senjata USS Kitty Hawk,” katanya.

“Ia tidak dapat dikesan bukan sahaja oleh kapal pengiring bahkan oleh kapal selam yang bersama konvoi itu sendiri. Ia seolah-olah memberikan isyarat bahawa ia dengan mudah boleh menghancurkan USS Kitty Hawk, yang merupakan kapal utama, dan walaupun mungkin dapat dikesan, ia mungkin sudah terlambat.”

Di Asia Tenggara, Indonesia memiliki armada kapal selam tertua, setelah memperoleh kapal pertama pada tahun 1950-an.

Dalam pada itu, Vietnam pula membeli dua kapal selam midget dari Korea Utara pada 1997, sementara Singapura membeli kapal selam terpakai dari Sweden dua tahun sebelumnya.

Malaysia mempunyai dua kapal selam Scorpene, yang diperolehi pada 2009 dan 2010.

Penerimaan kapal perang oleh Malaysia merupakan salah satu alasan diberikan Thailand untuk membeli tiga kapal selam buatan China pada 2020, walaupun rancangan tersebut ditangguhkan berikutan reaksi rakyat negaranya.

Sementara itu, Filipina merancang untuk mengikuti jejak langkah Malaysia dalam membeli Scorpene.

Farizha berkata bagi Malaysia, isu yang dihadapinya adalah pertindihan tuntutan antara dua atau lebih dari negara lain.

“Pertindihan tuntutan antara Malaysia dan Indonesia, Malaysia dan Vietnam, Malaysia dan Singapura serta Malaysia dan China boleh mencetuskan konflik di kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

“Oleh itu, sebagai langkah pencegahan dan sebagai persiapan menghadapi segala kemungkinan, pemerolehan kapal selam Malaysia dianggap sesuai, dan ia memberikan keseimbangan strategik bagi Malaysia, terutama di Laut China Selatan.”

Angkatan Laut Malaysia juga turut berharap memiliki armada pembawa senjata dan empat kapal selam pemantau – penambahan dua lagi kapal selam selain dua Scorpenes yang sedia ada.

Farizha berkata empat kapal selam adalah jumlah ideal bagi menjalankan operasi ofensif yang berkesan selain dapat mengawal kawasan yang lebih luas di Laut China Selatan.

“Dari segi kekuatan pertahanan yang mampan, dua kapal selam tidak cukup kuat, terutama jika satu kapal selam sedang menjalani penyenggaraan, tidak beroperasi atau rosak, sehingga kita hanya terbatas dengan sebuah kapal selam,” katanya.

Namun, katanya aset selain kapal selam, seperti kapal peronda maritim juga harus dipertimbangkan.

“Bagi melaksanakan peperangan anti-kapal selam (ASW), Malaysia mestilah terlebih dahulu mempunyai keupayaan mengesan seperti sistem sonar, pengesan anomali magnetik, dan sistem sokongan elektronik dan radar.

“Beberapa platform untuk menempatkan pengesan seperti kapal permukaan, kapal selam, helikopter ASW dan MPA juga diperlukan.

“Platform ini dapat memberikan tindakan balas terhadap kapal selam seperti torpedo, pelancar roket dan roket anti-kapal selam,” katanya.