- Iklan -
Berita

Pasangan AS ditahan jual maklumat kapal perang nuklear

Jonathan Toebbe yang mempunyai akses data berhubung kapal perang berteknologi nuklear bersubahat dengan isterinya untuk menjual data mengenai reaktor nuklear dengan harga AS$100,000.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Rumah kediaman Jonathan dan Diana Toebbe di Annapolis, Maryland, sehari selepas rumah itu diperiksa ejen FBI. Gambar: AP
Rumah kediaman Jonathan dan Diana Toebbe di Annapolis, Maryland, sehari selepas rumah itu diperiksa ejen FBI. Gambar: AP

Sepasang suami isteri warga Amerika Syarikat (AS) ditahan kerana didakwa menjual maklumat kapal perang nuklear kepada negara asing, kata Jabatan Keadilan AS pada Ahad.

Dalam sebuah kenyataan, Jabatan Keadilan berkata Jonathan Toebbe yang bekerja sebagai jurutera nuklear Tentera Laut AS serta isterinya, Diana masing-masing berusia 40-an ditahan ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di West Virginia atas dakwaan melanggar Akta Tenaga Atom di bawah aduan jenayah pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan itu, pasangan berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut hampir setahun lalu dengan menjual maklumat berkaitan data reka bentuk kapal perang berkuasa nuklear kepada pihak yang dipercayai wakil asing.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut berkata penerima maklumat itu sebenarnya adalah ejen FBI yang melakukan penyamaran.

Menurut afidavit, Jonathan Toebbe yang mempunyai akses data berhubung kapal perang berteknologi nuklear telah bersubahat dengan isterinya untuk menukar data mengenai reaktor nuklear kapal selam dengan harga AS$100,000 (RM416,649.83) dalam bentuk mata wang kripto.

Afidavit itu turut menjelaskan pada April lalu, Toebbe mengirimkan pakej kepada kerajaan asing “yang mengandungi contoh data dan arahan untuk menjalinkan hubungan rahsia.”

Bagaimanapun selepas mendapat aduan, FBI memintas bungkusan itu dan ejennya telah melakukan penyamaran sebagai wakil kerajaan asing untuk menjalin hubungan dengan pasangan itu.

Ejen itu kemudian mengirimkan emel kepada Jonathan Toebbe yang menggunakan nama samaran “Alice” untuk memberikan hadiah sebagai tanda terima kasih atas data tersebut.

Bagaimanapun, Toebbe membalas emel tersebut dengan berhati-hati serta meminta untuk menetapkan lokasi “dead drop” iaitu cara untuk menukarkan barangan atau maklumat antara dua individu serta meminta dibayar dalam mata wang kripto.

Pada bulan berikutnya pasangan itu mengirimkan pelbagai kad SD (Secure Digital) kepada ejen berkenaan “dengan semuanya dibalut dengan plastik dan diletakkan antara kepingan sandwic berinti kacang, selain ada disembunyi dalam paket gula-gula getah yang dibalut pelekat jenama Band-Aid.

Pasangan suami isteri itu ditahan Sabtu lalu selepas meninggalkan kad SD yang lain di lokasi ditetapkan. Mereka akan didakwa di Mahkamah Persekutuan West Virginia esok.

Kapal selam berkuasa nuklear AS menjadi perhatian baru-baru ini ketika Australia dan Britain pada bulan lalu memeterai kontrak pertahanan baru untuk kapal selam itu yang dirunding secara rahsia selama beberapa bulan.

Untuk bergabung dalam perjanjian itu, Australia mengikat kontrak bernilai jutaan dolar dengan Perancis, mencetuskan persaingan antarabangsa yang menyaksikan Paris memanggil pulang duta besarnya di Canberra.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.