Ahli Parlimen hanya dibenarkan membuka pelitup muka ketika berbahas di Dewan Rakyat, demikian dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Beliau berkata keputusan itu dicapai setelah mendapat pandangan kementerian kesihatan (KKM) yang melaksanakan penilaian risiko di Parlimen.
“Bagaimanapun, Ahli-ahli Yang Berhormat perlu memakai semula pelitup muka dengan kadar segera selepas berucap,” katanya dalam pemakluman di Dewan Rakyat, hari ini.
Melalui ujian saringan RTK Antigen dan RT-PCR, Azhar berkata tiada individu dalam perkarangan Parlimen yang didapati positif Covid-19 sepanjang persidangan kali ini.
Pada 14 September lepas, Azhar berkata semua Ahli Parlimen tidak dibenarkan menanggalkan pelitup muka ketika bercakap atau berbahas serta menggalakkan pemakaian pelitup muka berganda.
Ia berikutan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) di bangunan Parlimen bagi mengekang penularan wabak Covid-19 serta memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat.
Berikutan kebenaran menanggalkan pelitup muka itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021, tanpa memakai pelitup muka.