- Iklan -
Berita

Warga Malaysia teruja lakukan perjalanan rentas negeri selepas dibenarkan

Syarikat penerbangan dan syarikat bas menjangka permintaan akan meningkat sementara pihak berkuasa bersiap siap sedia hadapi kesesakan trafik.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Orang awam kelihatan menunggu giliran untuk menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan. Suasana di Terminal Bersepadu Selatan kelihatan masih tenang selepas Perdana menteri mengumumkan bahawa aktiviti merentas negeri telah dibenarkan berkuat-kuasa hari ini.
Orang awam kelihatan menunggu giliran untuk menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan. Suasana di Terminal Bersepadu Selatan kelihatan masih tenang selepas Perdana menteri mengumumkan bahawa aktiviti merentas negeri telah dibenarkan berkuat-kuasa hari ini.

Jualan tiket bas dan carian penerbangan menyaksikan peningkatan secara mendadak selepas Putrajaya membatalkan larangan rentas negeri yang dilaksanakan disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Mohamad Kaharrudin Salleh, berkata kenaikan tempahan tiket itu direkodkan menerusi pembelian secara dalam talian dan di kaunter bas.

“Kenaikan 10% hingga 15% ini adalah peningkatan purata direkodkan sekurang-kurangnya 20 syarikat bas di bawah Pembawa,” katanya yang juga pemilik Pancaran Matahari (M) Sdn Bhd kepada MalaysiaNow.

“Ada kemungkinan jualan tiket akan terus meningkat memandangkan kebenaran merentas negeri baru diumumkan pada Ahad.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mengumumkan Putrajaya membatalkan sekatan rentas negeri bermula 11 Oktober bagi yang sudah lengkap divaksinasi.

Bagaimanapun katannya, kebenaran tersebut tidak terpakai kepada penduduk yang berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Kaharrudin berkata, majoriti pembelian tiket bas itu adalah daripada kalangan penumpang yang ingin pulang ke kampung atau ke Kuala Lumpur dari negeri lain dan menambah operasi bas juga akan ditambah dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan orang ramai.

“Menerusi Pancaran, kami kami mempunyai 50 bas dan sebelum penularan pandemik, syarikat mempunyai kira-kira 100 pemandu. Kini tinggal hanya 50% daripada jumlah itu.

“Justeru kami menyambut baik pengumuman PM dan bersedia meningkatkan operasi bas. Dulu mungkin hanya boleh buat satu trip perjalanan, kini sudah naik kepada lima, jadi jumlah pemandu akan kembali tambah,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia merekodkan lonjakan carian penerbangan menerusi aplikasi Super (SuperApp) sebanyak 140%.

Jurucakap AirAsia memberitahu MalaysiaNow, carian destinasi tertinggi ialah Kuala Lumpur diikuti Pulau Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bahru dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam satu kenyataan berkata susulan pengumuman perdana menteri pada Ahad, syarikat itu meningkatkan jadual penerbangannya merangkumi 61 penerbangan ke 16 destinasi domestik.

“Operasi mingguan AirAsia Malaysia merangkumi 63 kali penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi, Alor Setar (10 kali), Kota Kinabalu (35 kali), Bintulu (dua kali), Kuching (10 kali, Labuan (14 kali) dan Miri sebanyak empat kali.

“Sementara itu, operasi penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang adalah sebanyak 21 kali, Kota Bahru (35 kali) manakala Kuala Terengganu dan Tawau sebanyak 28 kali,” katanya.

Beliau berkata jumlah laluan penerbangan akan ditambah berdasarkan peningkatan permintaan dalam masa terdekat dan bergantung kepada kelulusan oleh pihak berkuasa.

Kaharuddin dan Riad bagaimanapun menegaskan orang ramai yang ingin menggunakan mod pengangkutan tersebut perlu mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi memastikan keselamatan penumpang.

Sementara Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Mohd Shuhaimi Hassan berkata jumlah trafik dijangka meningkat kepada 4 juta kenderaan sehari pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Oktober depan berbanding 3.5 juta kenderaan sehari pada masa ini.

Katanya disebabkan itu LLM mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan elak penutupan loron terutamanya di Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL – Karak, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kajang Seremban semasa cuti hujung minggu atau cuti umum.

“Persiapan rapi juga perlu dilakukan di plaza tol bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan semasa melakukan transaksi di plaza tol.

“Syarikat pengendali lebuh raya juga diarahkan untuk melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik dan teratur selain mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.