- Iklan -
Berita

Hospital utama Sarawak bergelut dengan peningkatan kes Covid-19

Hospital Umum Sarawak menyaksikan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di ICU.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Hospital Umum Sarawak di Kuching kini bergelut dengan kes kematian tertunggak akibat Covid-19.
Hospital Umum Sarawak di Kuching kini bergelut dengan kes kematian tertunggak akibat Covid-19.

Lonjakan jangkitan Covid-19 di Sarawak ketika ini menyebabkan kesesakan di hospital utama negeri itu disebabkan pusat perubatan swasta mula menghentikan rawatan bagi pesakit virus itu yang tidak kritikal, MalaysiaNow difahamkan.

Kebiasaannya, hospital kerajaan akan memindahkan pesakit ke pusat kesihatan swasta sekiranya hospital yang dikhususkan untuk rawatan Covid-19 beroperasi dengan kapasiti maksimum, MalaysiaNow difahamkan pusat kesihatan swasta di Sarawak sudah tidak merawat pesakit tidak kritikal sejak dua bulan lalu.

Sumber rapat dengan sektor kesihatan memaklumkan hospital swasta enggan menerima kes Covid-19 ketika ini.

“Hospital swasta tidak lagi menerima pesakit yang didapati positif virus,” katanya.

“Sebagai contoh, seorang pesakit datang untuk jalani dialisis di sebuah hospital swasta kemudian ujian saringan mendapati dia positif. Jika hospital swasta dapati pesakit positif seperti ini, mereka enggan berikan rawatan dan pesakit-pesakit tersebut dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.”

Keadaan tersebut menyebabkan peningkatan mendadak pesakit Covid-19 di wad ICU Hospital Umum Sarawak, yang bergelut untuk menangani kes kematian tertunggak akibat penularan virus.

Semalam, Sarawak melaporkan 28 kematian akibat Covid-19 termasuk kes tertunggak, ia merupakan jumlah kematian harian tertinggi pernah dilaporkan negeri itu sejak pandemik melanda.

Daripada jumlah tersebut, jawatankuasa pengurusan bencana negeri berkata 25 kes adalah kes tertunggak dengan sembilan kematian berlaku pada 10 Oktober, tujuh pada 9 Oktober, enam pada 8 Oktober, tiga pada 11 Oktober, dua pada 7 Oktober dan satu kes pada 30 September.

Dari sudut kadar vaksinasi, Sarawak mencatat kadar tertinggi dengan 89.8% populasi dewasa lengkap divaksinasi setakat semalam.

Bagaimanapun, ia juga mencatatkan antara jumlah jangkitan harian yang tertinggi di mana kebanyakan kes adalah asimptomatik dan bergejala ringan.

Menurut data Github kementerian kesihatan, jumlah pesakit Covid-19 yang ditempatkan di unit rawatan rapi di hospital Sarawak meningkat secara mendadak sejak Ogos lalu.

Hospital Sarawak juga mengalami peningkatan jumlah kemasukan pesakit dan jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengakui sistem kesihatan masih berfungsi walapun mendapat tekanan dan keadaan ketika ini masih dapat dikendalikan.

Beliau turut berkata kes bukan Covid-19 diserahkan kepada hospital swasta bagi pelaksanaan pembedahan elektif.

“Buat masa ini, pesakit Covid-19 yang tenat di Sarawak dikendalikan di hospital kerajaan kerana sumber masih mencukupi dan dapat dikendalikan di hospital kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah kementerian melalui jabatan kesihatan negeri itu bekerjasama dengan hospital dan klinik swasta dalam menangani wabak ketika ini.

Tetapi jawatankuasa pengurusan bencana dan jabatan kesihatan Sarawak dikritik ekoran situasi Covid-19 di negeri itu.

Menurut laman sesawang kementerian kesihatan CovidNow, daripada 108 pesakit di ICU, 48 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Noor Hisham memberi jaminan kementerian sentiasa mengawasi keadaan Covid-19 dengan teliti dengan pelaksanaan pelbagai langkah dalam usaha menanganinya.

Beliau berkata hospital swasta juga akan membantu sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan katil ICU tambahan.

“Usaha dilakukan di banyak hospital kementerian kesihatan bagi memperluas kapasiti hospital dan klinik, selain menggerakkan sumber manusia,” katanya.

Katanya, dengan keadaan wabak Covid-19 yang kekal dinamik, jabatan kesihatan negeri akan terus memantau secara dekat berhubung perkata tersebut.