- Iklan -
Berita

Kerja penyenggaraan loji rawatan air Selangor dijangka siap lebih awal

Setakat pukul 3 petang tadi, 76.4% kerja penyenggaraan dan penambahbaikan telah selesai dijalankan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Air Selangor mengisi air pada tangki lori untuk membuat perhantaran ke pusat dialisis dan hospital di Lembah Jaya, Ampang.
Petugas Air Selangor mengisi air pada tangki lori untuk membuat perhantaran ke pusat dialisis dan hospital di Lembah Jaya, Ampang.

Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari berkata kerja pembaikan dan penyenggaraan dijangka siap lebih awal daripada jadual asal selepas 76.4% kerja selesai dijalankan pada pukul 3 petang tadi.

“Saya dimaklumkan oleh Air Selangor bahawa kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan aset air telah berjalan lancar dan lebih awal dari jadual asal,” kata Amiruddin dalam sebuah hantaran Facebook hari ini.

“Setakat jam 3 petang tadi telah mencapai tahap 76.4%, lebih awal dari jadual asal iaitu 65%. Alhamdulillah.”

Sebelum ini, kerja Air Selangor mengumumkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan pada 9 pagi tadi dan dijangka siap 11 malam ini.

Mengikut jadual terdahulu, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna bermula 5 petang pada 14 Oktober setelah sistem bekalan air distabilkan.

Amiruddin turut berkongsi laman sesawang www.hentitugas.airselangor.com untuk orang ramai mengikuti jadual baru pemulihan bekalan air di Selangor.

Katanya, kerja pembaikan dan penyelenggaraan dijangka siap pada malam ini secara berperingkat selepas itu mengikut jadual baru.