- Iklan -
Berita

Kerja penambahbaikan, senggara aset loji rawatan air Selangor siap

Bekalan air kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat pada pukul 5 petang ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Air Selangor mengisi air pada tangki lori untuk membuat perhantaran ke pusat dialisis dan hospital di Lembah Jaya, Ampang.
Petugas Air Selangor mengisi air pada tangki lori untuk membuat perhantaran ke pusat dialisis dan hospital di Lembah Jaya, Ampang.

Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah siap dilaksanakan 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan, setakat 6 pagi sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

“Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5 petang ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas, berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air bermula semalam berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan berkenaan, dengan daerah terlibat antaranya Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Elina berkata Air Selangor terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di pusat bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.