- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi selar kerajaan kerana sasar Nur Sajat

Lawyers for Liberty berkata ahli perniagaan kosmetik itu dianiaya oleh kedua-dua kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan kosmetik Nur Sajat. Gambar: Bernama
Ahli perniagaan kosmetik Nur Sajat. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar kerajaan berhubung tindakan terhadap Nur Sajat, dengan menuduh beberapa tindakan menganiaya ahli perniagaan kosmetik itu berikutan identitinya yang merupakan seorang individu transeksual.

Dalam sebuah kenyataan, penyelaras LFL, Zaid Malek berkata Nur Sajat berterusan “diburu” oleh lebih 100 pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sehingga kemuncaknya mereka diarahkan untuk menahannya.

“Pihak berkuasa agama di Malaysia dan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya kerana menjadikan dia tidak selesa tinggal dalam negara ini,” katanya berikutan laporan Nur Sajat melarikan diri ke Australia.

“Mereka berterusan memburunya, bahkan menugaskan 122 pegawai penguat kuasa Jais untuk menahannya seolah-olah dia adalah penjenayah paling dikehendaki, selain turut mengabaikan haknya untuk dilindungi di bawah jaminan Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah gangguan berterusan terhadap Nur Sajat oleh aparatus kerajaan adalah versi nilai kesederhanaan yang kita ada?

“Seseorang akan dapat merasakan kekecewaan Sajat; tidak ada seorang pun yang dia boleh mengadu, baik kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) sebelumnya, kedua-duanya menganiaya individu transeksual yang tidak berdaya ini.”

Nur Sajat yang dituduh menghina Islam kerana berpakaian silang jantina dipanggil untuk hadir di Mahkamah Syariah bagi mendengar pertuduhan menghina agama.

Mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat awal tahun ini selepas dia gagal hadir dalam prosiding tersebut.

Sajat dilaporkan melarikan diri ke Thailand sebelum mendapat suaka di negara ketiga dipercayai Australia.

Zaid berkata, kesalahan Nur Sajat itu “hanya menunjukkan dirinya sendiri” semasa acara amal pada 2018 yang dianjurkan untuk membantu masyarakat Islam.

“Ironinya; pihak berkuasa agama sasarkan pakaiannya dan memburunya tanpa henti, namun mengabaikan kenyataan bahawa dia pada waktu itu cuba melakukan kebaikan untuk agama.

“Kurangnya belas kasihan atau kemanusiaan yang ditunjukkan kepada Nur Sajat memalukan agama dan bertentangan dengan naratif yang sering diuar-uarkan bahawa kita mengamalkan kesederhanaan dalam beragama di Malaysia,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.