Gurauan mengenai rogol tidak kelakar dan mereka yang dianiaya perlu bersuara.
Itu adalah mesej yang disampaikan ratu terjun negara Pandelela Rinong berikutan isu itu yang tular dalam media sosial, mengenai seorang pelakon tempatan menceritakan adegan rogol dalam filem yang dilakonkannya sebelum ini dalam sebuah rancangan televisyen baru-baru ini.
Menceritakan masalah yang pernah melanda kem terjun kebangsaan, atlet berusia 28 tahun itu mendakwa bahawa bekas jurulatihnya suka membuat lawak lucah sebelum individu itu berdepan isu rogol melibatkan seorang penerjun negara beberapa tahun lepas.
“Dulu saya ada seorang jurulatih ini suka buat lawak lucah, saya buat diam sahaja tak pun fake laugh (pura-pura ketawa) sebab takutkan dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik.
“Tapi paling sedih dalam tujuh tahun itu dia buat hal setiap tahun. Tapi kami atlet tak boleh buat apa, sebab back up besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.
Bagaimanapun, penerjun kelahiran Sarawak itu bersyukur apabila para penerjun kini dilindungi oleh persatuan sukan mereka selepas isu itu terbongkar.
“Pengajaran daripada kisah ini, kita memerlukan pemimpin baik yang dapat membetulkan apa yang salah dan bukannya menutup mata kepada kejahatan dan mereka yang dianiaya harus bersuara! Suara yang kecil tetap penting sekiranya kita bersatu,” katanya.
Ciapan Pandelela itu kemudian menjadi tular apabila ia diulang kicau lebih 10,000 kali dan mendapat lebih 11,000 tanda suka.
Menyuarakan pendapat yang sama, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa tiada tolak ansur terhadap lawak rogol dan ia tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
“Rogol bukan jenaka. Keselamatan atlet kita adalah yang terpenting,” katanya dalam ciapan Twitternya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam balasan kepada ciapan Pandelela itu memuji pemenang pingat Olimpik dua kali itu atas keberaniannya bersuara mengenai isu berkenaan.
Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan berkata keselamatan atlet daripada penganiayaan fizikal dan mental adalah jauh lebih penting daripada memenangi pingat setiap hari.