Ketika jutaan orang di Amerika Syarikat memulakan mogok atau berhenti kerja kerana kekecewaan terhadap pandemik dalam gerakan digelar “Great Resignation”, situasi serupa dijangka tidak akan tercetus di Malaysia walaupun seorang ahli ekonomi memberi amaran wujud kemungkinan keadaan itu berlaku.
Setakat Ogos, lebih dari 30 juta rakyat Amerika dilaporkan secara sukarela meninggalkan pekerjaan, menyebabkan negara itu kini berdepan krisis buruh yang teruk ekoran mogok dilancarkan jururawat, pekerja kilang dan pekerja lain di seluruh negara.
Dengan istilah “Striketober” mulai membanjiri media sosial dan peralihan sikap orang ramai yang mula bekerja sebagai pekerja bebas atau “freelance” bahkan di negara seperti China, krisis Covid-19 menyongsangkan konsep tradisional berhubung buruh dan pekerjaan.
Bagaimanapun, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan keadaan sama berlaku di Malaysia.
Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman berkata data mereka berhubung kadar pengurangan pekerja sebaliknya menunjukkan penurunan secara beransur-ansur dalam peletakan jawatan.
“Terdapat penurunan dalam trend kadar pusing ganti bagi kedua-dua eksekutif dan bukan eksekutif antara Julai 2018 dan Jun 2021,” katanya kepada MalaysiaNow.
Syed Hussain turut berkata kadar purata peletekan jawatan eksekutif menurun dari 1.38% antara Julai 2018 dan Jun 2019 kepada 1.16% (dari Julai 2019 hingga Jun 2020) dan 0.93% (dari Julai 2020 hingga Jun 2021).
“Bagi tempoh dari Julai 2020 hingga Jun 2021, kadar purata rakan sejawat bukan eksekutif juga lebih rendah iaitu sebanyak 1.07% berbanding tempoh sama sebelumnya dengan catatan 1.57% (Julai 2018 hingga Jun 2019) dan 1.45% (Jun 2019 hingga Jun 2020).”
Pandemik Covid-19 yang bermula pada akhir 2019 mencetuskan ketidakstabilan di tempat kerja pada skala global dan seterusnya menyaksikan pejabat ditutup selain operasi perniagaan dipindahkan secara dalam talian, dan pekerja juga diarahkan untuk bekerja dari rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Dengan kebanyakan negara mengambil pendekatan untuk “hidup bersama virus”, syarikat juga memanggil pekerja mereka kembali untuk bekerja di pejabat – arahan itu bagaimanapun, dalam beberapa kes, disambut dengan reaksi bercampur-campur.
Walaupun ada yang ingin kembali ke pejabat, wujud juga yang lebih selesa untuk bekerja dari rumah.
Bagaimanapun, pilihan bekerja dari rumah sering disertai dengan keluhan waktu bekerja yang lebih lama dan tahap tekanan lebih tinggi.
Menurut statistik kementerian sumber manusia, di Malaysia, 12,371 pekerja mengambil skim pemisahan sukarela dari Januari hingga Jun tahun ini sementara 17,449 diberhentikan kerja.
Pengangguran juga mencapai 4.8% pada Julai berikutan lonjakan kes Covid-19 dan sekatan pergerakan penuh sebulan sebelumnya.
Bagaimanapun, peratusan itu menurun kepada 4.6% pada Ogos.
“Ini adalah 748,800 orang berbanding 778,200 pada Julai, kerana lebih banyak kegiatan ekonomi dibenarkan untuk beroperasi semula,” kata Syed Hussain.
Beliau juga memetik laporan jabatan statistik yang menunjukkan jumlah pekerja meningkat 0.5% bulan ke bulan kepada 15.38 juta orang pada Ogos dari 15.29 juta pada Julai.
MEF turut menjangka prestasi ekonomi tahun depan akan meningkatkan permintaan tenaga kerja, dengan lebih banyak peluang pekerjaan tersedia di pasaran.
Ekonomi juga turut diramalkan akan pulih seiring dengan pemulihan ekonomi global sepanjang akhir tahun sehingga tahun 2022.
“Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan fiskal akan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, ia diharapkan meningkat sebanyak 6.0% dan 5.8% seperti diramalkan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia,” katanya.
Bagaimanapun, ahli ekonomi Adilah Zafirah mengatakan walaupun angka itu tidak menunjukkan trend tersebut berlaku di Malaysia, terdapat keadaan serupa yang dihadapi generasi muda berhubung keadaan kerja.
Adilah, yang bertugas di Iris Institute berkata golongan muda cenderung menghargai keseimbangan kerja dan kehidupan berbanding faedah kewangan.
“Kalau kita tak tambah baik keadaan pasaran buruh kita dengan gaji rendah bagi kerja kasar, kurang keseimbangan hidup atau keanjalan dan sebagainya, tak mustahil kita juga akan mengalami the ‘great resignation’ tapi ada beberapa perkara yang mungkin melambatkan sedikit daripada berlakunya fenomena ini di Malaysia,” katanya.
Adilah turut menambah, bagaimanapun, masih ada beberapa faktor yang mungkin memperlahankan berlakunya fenomena seperti ini di Malaysia.
“Kita masih bergantung kepada pekerja asing untuk kerja-kerja kemahiran rendah dengan bayaran serendah mungkin. Generasi muda di Malaysia dibelenggu masalah kewangan, hutang keliling pinggang akibat kurang literasi kewangan dan gaya hidup konsumerisme.
“Jadi susah sedikit nak letakkan jawatan,” katanya.
Beliau turut memetik kelemahan perlindungan sosial dan keperluan untuk menyara keluarga adalah antara komitmen kewangan.
Berbanding dengan AS dan China, tambahnya, Malaysia kurang mempunyai kelenturan dari segi budaya kerjas sementara kualiti sambungan internet dan peranti diperlukan untuk bekerja dari rumah masih lagi belum sempurna.