Ketika ditanya apakah cita-citanya, Alias Daniel yang berusia sembilan tahun itu mahu menjadi angkasawan suatu hari nanti dan meneroka angkasa lepas.
Ia sememangnya impian yang sesuai bagi seorang kanak-kanak lelaki yang pernah mendapat hadiah kerana menjadi pelajar terbaik di sekolahnya.
Di angkasa lepas itu terdapat kemungkinan dan penemuan yang menunggu untuk diterokai.
Dan di sana jugalah, di mana alam semesta tidak pernah memiliki wilayah dan sempadan, asal-usul Daniel mungkin tidak akan memberi kesan kepada sesiapa pun.
Namun tidak di muka bumi ini.
Daniel ditinggalkan ibu bapa kandungnya ketika masih bayi.
Nasibnya baik kerana ditemui orang ramai dalam keadaan terbaring kesejukan dan lapar di belakang sebuah kereta lantas mereka membawanya ke jabatan kebajikan di mana dia diletakkan di bawah sistem anak angkat.
Ketika berusia dua bulan, Nur (bukan nama sebenar) dan suaminya yang tinggal di Johor mengambil Daniel sebagai anak angkat.
Ia adalah proses yang panjang dan melelahkan di mana Nur perlu menjalani dua temu duga dengan pegawai jabatan itu selain perlu mengangkat sumpah di hadapan hakim di mahkamah.
Bagi Nur dan suaminya yang sudah bertahun-tahun menginginkan anak, penantian itu tidak dirasakan lama.
Namun ketika mereka pergi ke jabatan kebajikan untuk mengambil dokumen Daniel, mereka terkejut lebih banyak ruang kosong dalam sijil kelahirannya.
Dokumen itu mengandungi nama, tarikh dan tempat lahirnya. Namun selain itu, semuanya kosong tak terisi.
Jelas sekali, dengan apa yang ada itu, Daniel tidak memiliki kerakyatan Malaysia.
“Saya terkejut pada mulanya ketika mengetahui keadaan Daniel kerana saya anggap tidak perlu selesaikan masalah dokumentasi jika ambil anak angkat secara sah melalui badan kerajaan,” kata Nur kepada MalaysiaNow.
Pegawai memberitahu pasangan itu untuk pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam masa dua tahun bagi mengisi beberapa borang proses pengambilan Daniel sebagai anak angkat dan menyelesaikan isu kewarganegaraan anak itu.
Walaupun mendapat sijil anak angkat, status kewarganegaraannya masih tidak berubah dan tidak diketahui.
Nur dan suaminya bertekad untuk terus berusaha.
Mereka kembali ke JPN bagi memohon kewarganegaraan untuk Daniel namun diberitahu prosesnya akan memakan waktu yang lama – sekurang-kurangnya tiga tahun – walaupun peluangnya lebih baik kerana Daniel dianggap sebagai anak angkat kerajaan.
Selama beberapa tahun, pasangan itu terus menghubungi JPN untuk bertanya mengenai kemajuan permohonan mereka, namun sehingga ke hari ini, mereka masih menunggu.
“Sekarang saya faham mengapa begitu banyak ibu bapa angkat pilih untuk kembalikan anak angkat mereka ke jabatan kebajikan,” kata Nur.
“Masalahnya bukan anak angkat atau ibu bapa, tetapi kekurangan dokumentasi. Ia membebankan ibu bapa angkat.”
Nur berkata mengembalikan Daniel kepada kerajaan sememangnya jalan keluar mudah, namun dia tegar hati tidak akan mensia-siakan anak angkatnya.
“Dia seorang anak yang bijak,” katanya.
Daniel konsisten mendapat markah A dalam peperiksaannya dan dia adalah pelakon utama dalam drama pentas di sekolahnya ketika dia baru di Tahun Satu.
Nur menghargai setiap piala dan pingat yang Daniel bawa pulang dari sekolah.
Ibu itu akan menyimpan semua piala itu di kabinet kaca di rumah mereka.
Bagaimanapun, Nur tahu akhirnya nanti, Daniel harus menghadapi kesusahan dalam kehidupan yang disebabkan statusnya sebagai individu yang tiada kewarganegaraan.
“Kami memberikan pendidikan yang terbaik untuknya, tetapi kami tidak tahu bagaimana masa depannya,” katanya.
“Tanpa kewarganegaraan, dia tidak ada tempat untuk dituju. Dia akan selalu dianggap tiada kewarganegaraan dan tanpa apa-apa.”
Selagi mampu, Nur bertekad untuk melakukan apa yang boleh bagi memastikan Daniel dapat menjalani kehidupan normal sebagai warganegara yang sah satu hari nanti.
“Sebagai seorang ibu, saya akan terus suarakan masalah ini dan saya akan terus perjuangkan isu ini,” katanya.
“Sekiranya saya diberitahu untuk menyerahkan semua harta benda dan kewarganegaraan saya sebagai ganti, saya dengan senang hati akan menyerahkannya kerana saya tahu dia memiliki masa depan yang cerah.”
Nur sedar dia sendiri mungkin sedang menggapai bintang dalam usahanya bagi membantu Daniel mendapatkan kewarganegaraan.
Namun sebagai ibu, dia tidak akan putus asa dan sentiasa yakin Daniel layak untuk mendapat kewarganegaraan Malaysia.
“Apa yang saya mahu adalah anak saya diberi peluang,” katanya.
“Dia tidak bersalah, jadi tolonglah berhenti hukum dia.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.