- Iklan -
Berita

Daken 2021 akan jadi panduan, rujukan pembangunan seni, budaya dan warisan

Menurut perdana menteri, Daken 2021 digubal berlandaskan lima prinsip Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian secara maya sempena Majlis Pelancaran Dasar Kebudayaan Negara (Daken) di Panggung Sari Kompleks Kraf semalam. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian secara maya sempena Majlis Pelancaran Dasar Kebudayaan Negara (Daken) di Panggung Sari Kompleks Kraf semalam. Gambar: Bernama

Dasar Kebudayaan Negara 2021 (Daken 2021) yang dilancar hari ini akan dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata inisiatif menggubal Daken 2021 juga seiring dengan usaha menjadikan sektor seni, budaya dan warisan negara sebagai pemangkin sosioekonomi Keluarga Malaysia.

Beliau berkata dasar berkenaan menggariskan hala tuju Malaysia menjadi “Negara Maju Rakyat Berbudaya” yang digubal berlandaskan lima prinsip Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

“Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan Daken 2021 ini sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara,” katanya menerusi rakaman ucapan yang disiarkan pada majlis pelancaran dasar itu di Panggung Sari Kompleks Kraf, Jalan Conlay.

Ismai menjelaskan Daken memiliki tujuh teras iaitu budaya nilai tinggi, keharmonian masyarakat, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya, pembangunan dan pengembangan budaya, pemerkasaan budaya, penjanaan ekonomi kebudayaan dan kecemerlangan budaya.

Perdana menteri berkata pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten merangkumi pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal serta menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan para pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan sedia ada.

Beliau berkata penggubalan Daken adalah demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin dan merupakan kesinambungan daripada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK 1971) sebelum ini dalam membentuk kebudayaan kebangsaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

“Dasar ini (DKK 1971) dijadikan panduan dalam membentuk dan mengekalkan identiti negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Hasilnya, sepanjang tempoh 50 tahun lalu, pelbagai pencapaian dalam arena seni, budaya dan warisan telah dicatat,” katanya.

Menurut Ismail, sektor budaya memiliki potensi besar sebagai penjana ekonomi sejak dahulu, misalnya pada tahun 2019 apabila mencatatkan pendapatan RM585 juta berbanding RM542 juta, pada 2017.

“Kini, angka itu menunjukkan pemulihan yang meyakinkan sejurus negara memasuki era endemik Covid-19. Ekoran itu, kerajaan menetapkan sasaran perolehan sektor ini pada aras RM1 bilion menjelang tahun 2025 kelak,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan menerusi Motac juga akan terus mempelbagaikan ikhtiar demi meningkatkan daya saing, visibiliti dan imej seni, budaya serta warisan negara sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan dasar tersebut, sekali gus mengembalikan reputasi “Malaysia Truly Asia” ke persada sewajarnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.