Individu tanpa nama yang menggunakan identiti palsu menyalahgunakan undang-undang hak cipta Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai jangkauan global bagi memaksa nyahterbit sesebuah kandungan dalam talian dan laporan berita dengan beberapa alasan.
Tindakan licik tersebut mendapat perhatian MalaysiaNow selepas aduan dibuat terhadap artikel berita yang diterbitkan awal tahun ini mengenai kontrak membekalkan peralatan perubatan bernilai berbilion dolar daripada kerajaan Hungary yang diberi kepada kepada ahli perniagaan kontroversi Malaysia, Vinod Sekhar.
Menggunakan Akta Hak Cipta Milenium Digital (DMCA), sebuah undang-undang AS bagi pelaksanaan undang-undang harta intelek dalam talian, pengadu boleh memfailkan laporan bagi mendakwa kandungan tertentu dalam talian adalah kandungan plagiat atau melanggar hak ciptanya.
Ia dibuat dengan cara replikasi laman sesawang berita di beberapa laman lain yang tidak pernah diketahui sebelum ini, selain menggunakan penerbitan undur tarikh sebelum penerbitan asal.
Seorang yang biasa dengan aduan palsu seperti itu berkata kaedah tersebut adalah taktik biasa yang digunakan bagi menutup mulut pengkritik dan wartawan yang melapor sesuatu yang tidak baik dan sukar untuk dibantah atau dijawab.
“Antara penyalahgunaan DMCA di seluruh dunia ialah notis alih keluar dengan dakwaan palsu si pengadu miliki hak cipta, di mana laman sesawang dan identiti palsu pengadu boleh direka.
“Apabila aduan sedemikian difailkan, penyedia perkhidmatan atau hos pelayan mesti maklumkan kepada pelanggannya, yang menyebabkan mereka kemudiannya perlu nyah terbit kandungan tersebut atau failkan bantahan, jika tidak laman sesawang mereka berisiko untuk digantung,” katanya.
Dalam aduan yang dibuat terhadap MalaysiaNow, ia mendakwa laporan bertajuk “Malaysian businessman gets lion’s share of multibillion-dollar Hungary deal” disalin sepenuhnya daripada laman sesawang lain dengan link URL allmain.news.
Pengadu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai “Muhammad Zuhaili”, beralamat di Jerteh, Terengganu, selain turut mendedahkan nombor telefon peribadinya.
Semakan mendapati nombor tersebut bukan milik penama tersebut, manakala alamatnya adalah tidak wujud.
Dalam pada itu, laman web allmain.news juga turut mencurigakan, dan berasal dari Rusia.
MalaysiaNow sudah menjawab aduan yang dipercayai antara beberapa percubaan dalam talian oleh pihak tidak dikenali bagi menyerang laman sesawangnya.
Laporan itu diterbitkan pada 16 Jun 2021 yang mendedahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion kerajaan Hungary yang diperolehi Vinod, seorang ahli perniagaan yang rapat dengan beberapa ahli politik di Malaysia.
Kontrak yang diterima Vinod tersebut menimbulkan kebimbangan kerana ia bukan sahaja berjumlah besar, bahkan ia turut dilatari isu bekalan peralatan yang tidak diperlukan sehingga menyebabkan lebihan bekalan sekali gus menyebabkan sektor kesihatan Hungary terpaksa melupuskan banyak unit alat bantuan pernafasan.
Dalam laporan itu, MalaysiaNow turut mewawancara ahli politik pembangkang di Hungary yang menyatakan pemberian kontrak tersebut adalah tidak telus dan terlalu mahal, selain menggesa siasatan dijalankan terhadap pembelian tersebut.
Pembelian peralatan perubatan Hungary dengan alasan untuk memerangi Covid-19 tahun lalu disifatkan oleh kumpulan wartawan penyiasat di sana sebagai perjanjian terburuk pernah dibuat di Kesatuan Eropah.
Pada Ogos, badan pemantau antirasuah global Transparency International dari Hungary menggesa Budapest untuk mengeluarkan butiran khusus berkaitan kontrak yang diberikan kepada Vinod bernilai lebih setengah bilion dolar melalui syarikatnya, GR Technologies.
Badan pemantau itu turut berkata terdapat persoalan yang timbul mengenai ketelusan kontrak tersebut.
Mereka juga memfailkan tuntutan supaya pendedahan maklumat bebas berkenaan kontrak tersebut terhadap kementerian luar Hungary yang menandatangani kontrak itu.
Tuntutan itu antara lain menggesa siapakah yang memilih GR Technologies sebagai penerima kontrak, selain menuntut butiran kelayakan syarikat, invois dan bukti pembayaran didedahkan.