Aktivis gesa menteri campur tangan berhubung hukuman mati warga autistik Malaysia menjelang Deepavali
Angelia Pranthaman dari NGO Sebaran Kasih berkata hukuman dan keputusan mahkamah terhadap Nagaenthiran a/l K Dharmalingam perlu dinilai semula dengan mempertimbangkan keadaan mentalnya.
Seorang aktivis merayu Menteri Luar Saifuddin Abdullah supaya turut campur tangan dalam isu pelaksanaan hukuman mati seorang warga Malaysia cacat mental di Singapura, susulan pelantikan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) baru-baru ini.
Presiden NGO Sebaran Kasih Angelia Pranthaman berkata bukan sahaja hukuman tersebut tidak berperikemanusiaan malahan menjatuhkan hukum mati terhadap seorang yang kurang upaya dari segi intelek adalah “sangat kejam” menjelang musim perayaan Deepavali pada 4 November depan.
Beliau juga mengecam sistem penjara “kuno” yang masih mengekalkan hukuman mati.
“Sebaran Kasih memohon campur tangan menteri dan kerajaan untuk menghalang hukuman mati Nagaenthran a/l K Dharmalingam. Sekurang-kurangnya, hukuman dan keputusan itu mesti dinilai semula, dengan mempertimbangkan keadaan mentalnya,” katanya.
Nagaenthran disabitkan pertuduhan mengimport 42.72g diamorphine secara haram pada 2011.
Dia dijatuhi hukuman mati di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.
Pada Khamis, kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mendedahkan ibu Nagaenthran dimaklumkan melalui sepucuk surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura bertarikh 26 Oktober bahawa anaknya akan menjalani hukuman mati pada 10 November depan.
Menurut LFL, Nagaenthran mengalami kecacatan mental dan memiliki IQ sebanyak 69, keadaan mentalnya turut didiagnosis dan disahkan pakar psikiatri bertauliah berpangkalan di Singapura.
Angelia yang juga merupakan adik kepada banduan bilik akhir di penjara Changi Singapura kerana kesalahan mengedar 51.84g diamorphine, berkata wakil Malaysia yang dilantik menduduki kerusi persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini juga turut menyebut keutamaan mesti diberikan kepada golongan rentan.
“Sudah tiba masanya Malaysia mula mengotakan apa yang dicanangnya,” kata Angelia.
“Kami menggesa menteri luar untuk campur tangan dan merayu supaya pelaksanaan hukuman ini dihentikan sekali gus mengubah hukuman mati terhadap Nagaenthran kepada hukuman penjara seumur hidup.”
Angelia berkata ketika abangnya, Pannir Selvam diberi tarikh hukuman mati, mendiang Liew Vui Keong yang merupakan menteri undang-undang ketika itu tampil membantu keluarganya.
“Beliau bahkan berusaha keras untuk berbincang dengan rakan sejawatnya di Singapura dan menghubungi menteri undang-undang Singapura, dengan sokongan pihak berkuasa tertinggi Malaysia lain melakukan sesuatu mengenainya.
“Saifuddin Abdullah kini bekerja bagi pihak Putrajaya untuk cuba meyakinkan kerajaan Singapura untuk menyelamatkan nyawa Pannir.
“Bolehkah kita minta kerajaan kita sekarang ini untuk tingkatkan usaha bagi merayu supaya Singapura berikan peluang supaya Nagaenthran dapat terus hidup?”
Angelia turut menggesa kerajaan memainkan peranan aktif dalam menjaga rakyatnya, termasuk mereka yang dihukum mati di luar negara, mengatakan Malaysia mesti mengingati nilai-nilai yang dipercayainya dan mengutamakan kehidupan rakyat walau dalam apa juga keadaan.
“Bagi tujuan itu, kita perlu mencari cara bagaimana kita boleh membantu semua banduan warga Malaysia yang dijatuhi hukuman mati sama ada di sini atau di luar negara, sehingga akhirnya hukuman mati dapat dimansuhkan dalam negara kita.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.