- Iklan -
Berita

Apabila pendidikan adalah kemewahan, bukan lagi hak

Bagi penduduk pedalaman Sarawak yang diterima masuk ke universiti, mereka tahu ia bermaksud harga mahal perlu dibayar.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Ramai yang tinggal dan membanting tulang di kawasan perladangan Serian, Sarawak, bergelut untuk membeli makanan dan pakaian apatah lagi menghantar anak ke universiti.
Ramai yang tinggal dan membanting tulang di kawasan perladangan Serian, Sarawak, bergelut untuk membeli makanan dan pakaian apatah lagi menghantar anak ke universiti.

Berteduh di bawah sebuah kanopi ketika hari yang panas di pedalaman Sarawak, Ellysia Vina, Claudia Jessica Isabel dan Alicia Ann duduk sambil menghayun kaki dan berbual sambil menunggu giliran untuk mengambil kad SIM percuma yang diberikan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan akses internet di kawasan mereka.

Walaupun secara zahirnya perawakan sangat berbeza, mereka bagaimanapun berkongsi satu perkara: ketiga-tiganya adalah antara anak kampung yang terawal diterima belajar di universiti awam negeri.

Walaupun gembira kerana mendapat peluang melanjutkan pelajaran, ketiga-tiga anak muda itu tahu hal tersebut bukan satu perkara yang mudah.

Berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, bagi mereka, memperolehi segulung ijazah bermakna ibu bapa perlu menanggung satu lagi beban ekonomi.

Sedangkan orang tua mereka itu sudah bekerja dari subuh hingga senja bagi menampung kehidupan sekeluarga

Menyedari kekangan kewangan, mereka cuba berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi membantu meringankan beban keluarga.

Dua tahun lalu, Ellysia mengambil keputusan untuk mencari kerja sementara menunggu keputusan STPM.

Seperti kebanyakan rakannya yang turut menamatkan pengajian menengah dan pra universiti pada masa yang sama, dia tahu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dia perlu memiliki simpanan tambahan.

Ellysia Vina berjalan di tepi ladang kelapa sawit di kampungnya.

Ellysia berjaya mendapat kerja sambilan sebagai pembanci dan menghabiskan masa selama beberapa bulan berjalan dari rumah ke rumah sejak awal pagi hingga tengah hari dengan berpakaian formal bagi menemu bual isi rumah demi mendapatkan butiran keluarga mereka.

Ia adalah kerja yang memenatkan dan dia terpaksa meranduk kepanasan, namun demi cita-citanya, anak muda itu tetap tegar melakukan segala perkara yang dia mampu bagi mendapatkan wang.

Gajinya ketika bekerja sebagai pembanci adalah RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun, ketika diterima masuk ke universiti, kehidupan nampaknya menjadi semakin mencabar.

Pandemik Covid-19 yang melanda menyebabkannya terpaksa menyesuaikan perbelanjaan bagi memastikan akses internet cukup untuk mengikuti kuliah dalam talian.

Ia bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Ellysia perlu menghabiskan sebahagian besar wang hanya untuk membayar akses internet agar dapat meneruskan pelajarannya.

Namun, nasibnya dan rakan sekampung, Claudia, masih dianggap baik kerana tinggal di kawasan kampung yang memiliki liputan internet.

Claudia Jessica Isabel tersenyum sambil memetik jambu air di kampungnya.

Berbanding Alice, kelebihan yang dianggap mewah tiada di kampungnya.

Walaupun begitu keadaan mereka bertiga, masih ramai yang berdepan masalah lebih sukar.

Mereka bersyukur kerana bapa masih mampu mencari rezeki, bekerja di sawah dan ladang cili.

Menurut anak-anak muda itu, berbanding keadaan dengan keluarga beberapa rakan seusia, ibu bapa mereka masih mampu membeli pakaian baru dan menyediakan makanan yang mencukupi di rumah.

Ramai anak muda di kawasan Tebedu, sebuah pekan luar bandar di Serian yang terletak di sempadan Sarawak-Kalimantan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan bahkan tidak pernah mengimpikan untuk belajar di universiti yang dianggap sebagai satu kemewahan.

Claudia yang berasal dari Kampung Tema Saan berkata, ramai remaja di kampungnya tidak meneruskan pelajaran apabila tamat persekolahan.

“Macam sepupu saya. Dia tidak sambung pelajaran kerana tidak mampu. Dia tidak mahu membebankan ibu bapanya jadi dia ambil keputusan untuk bekerja.

“Saya kasihan kepadanya kerana dia seorang pelajar yang bijak. Dia dapat banyak A sewaktu SPM,” kata Claudia kepada MalaysiaNow.

Di kampung ini, anak muda sukar melanjutkan pendidikan mereka walaupun diterima masuk ke universiti.

Keadaan Serian bertambah maju berbanding 60 tahun lalu, ketika Sarawak baru sahaja mengecap kemerdekaan dan berjaya mengatasi ancaman konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Kemasukan pendatang tempatan menjadikannya sebagai kawasan yang terkenal dengan tawaran pendapatan mudah bagi pekerja yang tidak memerlukan kemahiran tinggi.

Sejak lima tahun lalu, ia menyaksikan perubahan apabila beransur-ansur beralih dari kawasan yang terkenal dengan perladangan kelapa sawit kepada perusahaan ladang cili dan padi.

Bagaimanapun, sejak sebelum pandemik melanda sudah ramai belia menganggur di kawasan tersebut.

Mereka tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diperlukan seperti Christopher Ginola yang baru berusia 19 tahun.

Christopher baru sahaja mula bekerja di salun rambut di Serian apabila Covid-19 melanda namun kehilangan pendapatan akibat sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara.

Christopher Ginola bersama gitarnya. Christopher cintakan muzik namun terpaksa bekerja di ladang sawit selepas kehilangan kerja di kedai gunting rambut.

Dengan penutupan premis di bawah langkah penjagaan kesihatan dan pencegahan wabak, Christopher terpaksa menjadi buruh harian di ladang kelapa sawit.

Di sana, dia bekerja sepanjang hari mengutip biji-biji yang berserakan di atas tanah ladang.

Kadang-kadang, dia perlu bekerja selama 12 jam mengangkat beban berat di belakangnya.

“Saya tidak boleh terlepas apa-apa,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tak boleh tinggal satu biji pun, jika tidak gaji saya akan dipotong.”

Bagaimanapun, gajinya tidak seberapa dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan hidup.

Dia berkata ramai kanak-kanak dan remaja turut melakukan kerja yang sama, bekerja keras di lombong atau di ladang.

“Mereka perlu melakukan ini bagi membantu keluarga,” katanya.

“Kebanyakan mereka bersekolah sehingga Tahun Enam sekolah rendah.

“Di sini, kanak-kanak perlu mula bekerja pada usia muda dan terpaksa abaikan pendidikan mereka kerana kemiskinan keluarga.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.