- Iklan -
Berita

Kit ujian kendiri Covid-19 dijual serendah RM6.90 di pasar raya, kedai serbaneka

Menurut Nanta, kit ujian kendiri tersebut juga boleh didapati lebih murah dengan harga RM6.60 di kedai serbaneka tertentu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai digalakkan menggunakan kit ujian kendiri sebelum melakukan perjalanan bagi langkah pembendungan Covid-19. Gambar: Bernama
Orang ramai digalakkan menggunakan kit ujian kendiri sebelum melakukan perjalanan bagi langkah pembendungan Covid-19. Gambar: Bernama

Kit ujian kendiri Covid-19 boleh didapati pada harga serendah RM6.90 seunit di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak tertentu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia susulan langkah perluasan penjualan kit ujian kendiri itu secara berperingkat termasuk di pasar raya, rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak .

“Ini tentunya satu berita yang sangat baik kepada pengguna pada situasi hari ini,” katanya ketika melancarkan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 di KK Supermart di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 hari ini.

Beliau berkata walaupun kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) dimaklumkan harga yang ditawarkan adalah serendah RM6.90, namun ada yang menjualnya pada harga lebih rendah seperti rangkaian kedai serbaneka KK Supermarket yang menawarkannya pada RM6.60 seunit.

Sebelum ini, kit ujian kendiri Covid-19 yang menerima kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dijual di klinik dan premis farmasi yang terpilih.

Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi kit berkenaan pada harga RM19.90 dan harga borong RM16.00 seunit, berkuat kuasa 5 September lepas.

Nanta berkata keputusan kerajaan untuk memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 akan mendatangkan kebaikan seperti penurunan harga, ketersediaan bekalan dan meningkatkan daya saing serta ekonomi sektor peruncitan.

Hingga 28 Okt lepas, katanya sejumlah 2,570 premis perniagaan di seluruh negara telah diberi kelulusan untuk menjual kit itu dengan 494 daripadanya adalah di bawah pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd termasuk di klia2.

Mengenai harga siling kit ujian kendiri Covid-19 yang baharu, Nanta berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat dan penentuannya mengambil kira semua aspek termasuk kepentingan pengguna dan peniaga.

Menurut Nanta paras sedia ada iaitu RM19.90 harga runcit dan RM16 harga borong akan diturunkan ke satu tahap yang adil kepada pengguna dan peniaga.

“Kita boleh tengok di mana paras kita boleh letak dan memastikan pengguna boleh membeli dengan mengikut kehendak mereka termasuk dari segi jenama dan kualiti. Kita mesti juga memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan,” katanya.

“Harga siling baharu juga harus mengambil kira peniaga yang perlu mengimport kit berkenaan dari negara berlainan,” katanya.

Nanta berkata beliau percaya persaingan akan menurunkan harga jualan di peringkat runcit.

“Suasana perniagaan perlu berpaksi kepada (konsep) penawaran dan permintaan. Tidak perlu kerajaan guna kuasa menyekat dan membuat peraturan,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi