- Iklan -
Berita

Remaja berusia 13, 14 tahun akan diberi suntikan vaksin virus papilloma manusia

Buat masa ini kementerian kesihatan sedang melaksanakan perolehan bagi tender pembekalan vaksin HPV.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menunjukkan vaksin virus papilloma manusia (HPV), Gardasil. Gambar: AP
Petugas kesihatan menunjukkan vaksin virus papilloma manusia (HPV), Gardasil. Gambar: AP

Remaja perempuan berusia 13 hingga 14 tahun yang belum menerima suntikan vaksin virus papilloma manusia (HPV) bagi mencegah kanser serviks akan diberikan suntikan vaksin itu melalui perkhidmatan kesihatan sekolah pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan II Aaron Ago Dagang berkata suntikan itu akan diberikan selepas bekalan vaksin itu diperoleh pada 2022 memandangkan pemberian suntikan vaksin berkenaan tidak dapat diberikan pada 2020 dan tahun ini disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

“Buat masa ini kementerian kesihatan (KKM) sedang melaksanakan perolehan bagi tender pembekalan (vaksin) HPV, perolehan ini masih dalam peringkat penilaian,” katanya.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang bertanyakan komitmen kerajaan dalam memastikan semua pelajar berusia 13 dan 14 tahun yang terlepas vaksinasi HPV diberikan vaksin tersebut dalam masa terdekat.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah sama ada kerajaan bersedia memberikan suntikan vaksin HPV kepada remaja lelaki berumur 13 dan 14 tahun, beliau berkata buat masa ini, kerajaan belum mempunyai dasar bagi memvaksin remaja lelaki.

Aaron berkata bagi ujian saringan kanser serviks melalui kaedah ujian HPV DNA, KKM menyasarkan semua wanita warga tempatan berumur 30 hingga 65 tahun yang pernah menjalani hubungan seksual, belum pernah menjalani ujian saringan HPV atau menjalani ujian pap smear untuk tempoh lebih tiga tahun layak disaring di klinik kesihatan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi