- Iklan -
Berita

Agong setuju tamatkan darurat di Sarawak, beri laluan PRN

Agong berkata ia adalah bagi mengembalikan mandat kepada rakyat Sarawak untuk membentuk kerajaan baru.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan suasana di DUN Sarawak. Gambar: Bernama
Pemandangan suasana di DUN Sarawak. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong hari ini bersetuju untuk menamatkan darurat di Sarawak, bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tertangguh akibat situasi Covid-19 dan Proklamasi Darurat di negeri itu.

“Perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklmasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

“Namun, ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakya untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baru,” kata Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Azuan Effendy Zairakithnaini dalam satu kenyataan hari ini.

Istana Negara berkata keputusan tersebut diambil susulan sesi mengadap oleh Yang di-Pertua Sarawak Abdul Taib Mahmud yang menyampaikan hasrat kerajaan Sarawak agar Proklamasi Darurat di negeri itu dapat ditamatkan.

Sesi mengadap juga turut diadakan bersama Ismail Sabri Yaakob sebelum mesyuarat Kabinet di mana Agong menyatakan persetujuan untuk penamatan tersebut selepas mendengar sembah nasihat perdana menteri.

Peguam Negara Idrus Harun turut dipanggil mengadap pada 2 November lalu bagi membincangkan perkara yang sama.

Kenyataan itu turut berkata penamatan Proklamasi Darurat bagi Sarawak tersebut adalah selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Padukan Baginda setelah berunding dengan Yang di-Pertua Sarawak.”

Namun, Agong menyatakan kegusaran risiko peningkatan jangkitan Covid-19 sekiranya PRN diadakan selain turut menegaskan keselamatan rakyat jelata perlu diutamakan

“Pada hemat Baginda, negara masih bergelut dengan wabak dan masih di tahap membimbangkan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik,” katanya.