- Iklan -
Berita

Merayakan Deepavali di tanah perkuburan

Tiada tempat paling aman seperti rumah sendiri, namun bagi Mogana sekeluarga yang tinggal di sebuah tanah perkuburan di Klang, ini juga mungkin akan diambil daripada mereka.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Salah seorang dari 17 ahli keluarga yang tinggal di tanah perkuburan yang terletak di Klang.
Salah seorang dari 17 ahli keluarga yang tinggal di tanah perkuburan yang terletak di Klang.

Ketika penganut Hindu di seluruh negara meraikan Deepavali yang pertama selepas sekatan pergerakan Covid-19 dilonggarkan akibat kejayaan vaksinasi, tiada cahaya lampu meriah bagi Mogana yang berusia 25 tahun dan keluarganya tahun ini.

Duduk di bangku rumahnya, Mogana berkata tahun ini adalah yang paling buruk buat mereka berbanding tahun lalu ketika Covid-19 melanda negara dan vaksin masih belum tersedia.

Kesuraman kata-katanya itu dirasai benar memandangkan mereka sekeluarga tinggal di sebuah kuil Buddha terbiar di Tanah Perkuburan Kristian Meru di Klang.

Mogana dan keluarganya tinggal di kawasan perkuburan itu sejak masih kecil.

Mogana bercakap kepada MalaysiaNow tentang keadaan keluarganya di Meru, Klang.

Datuk, nenek, ibu dan bapa saudaranya, tinggal bersama di kawasan itu sejak 25 tahun lalu, kemudian seluruh keluarganya menyusul selepas 10 tahun.

Kini, kesemua 17 ahli keluarga besar termasuk tiga anak kecil berkongsi bilik-bilik yang ada dalam kuil tersebut, di mana tuan tanah membenarkan mereka tinggal sebagai ganti kepada kerja membersihkan bangunan itu dan tanah perkuburan di sekelilingnya.

Pendapatan kecil yang mereka dapat hanya sekadar cukup untuk menampung kehidupan harian.

Sejak pandemik melanda, tidak ramai orang yang datang menziarahi kawasan perkuburan tersebut.

“Hanya ada sedikit sahaja kerja yang boleh kami lakukan di sini,” kata Mogana.

“Sebahagian kami kumpul besi terbuang dan bersihkan rumah-rumah di sekitar. Namun tak banyak yang boleh kami lakukan.”

Hampir tidak memiliki apa-apa, sambutan Deepavali adalah satu perayaan yang tidak pernah terjangkau di fikiran untuk diraikan.

Ibu saudara Mogana menyediakan adhirasam untuk meraikan Deepavali bersama keluarga besar mereka.

Mereka tidak memiliki wang untuk membeli pakaian baru atau makanan istimewa kerana setiap sen yang ada digunakan untuk menempuh pandemik.

“Deepavali tahun ini lebih buruk daripada tahun lalu,” katanya.

“Jika tidak dapat meraikannya tahun ini, mungkin kami raikan pada tahun depan sahaja.”

Walaupun begitu, Deepavali hanya datang sekali setahun dan keluarga Mogana tidak sanggup untuk membiarkan anak-anak kecil tidak dapat meraikannya.

“Di rumah ini ada tiga orang kanak-kanak. Sekurang-kurangnya kami mahu pastikan mereka dapat meraikan Deepavali, dan buat mereka gembira,” kata Mogana.

Adik sepupu Mogana mengambil air bersih di tangki besar depan kuil terbiar yang menjadi rumah mereka.

Bagaimanapun, persoalannya, bagaimana mereka dapat meraikan Deepavali tahun ini.

Adik sepupunya itu berusia sembilan tahun dan paling muda baru sahaja lahir lima bulan lalu.

Mogana yang arif bagaimana keadaannya membesar di persekitaran yang tidak kondusif di tanah perkuburan itu bimbang tentang mereka.

“Ketika saya berumur 14 tahun, saya terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu, dan saya mula bekerja untuk bantu keluarga,” katanya.

Harapannya, kehidupan sepupu-sepupu yang sedang membesar itu tidak sama seperti keadaannya, dia mahu mereka dapat melanjutkan pelajaran sehingga peringkat tertinggi.

Namun dia tahu ia adalah satu harapan yang mustahil jika mereka terus tinggal di tanah perkuburan tersebut.

Pemandangan dari udara tempat tinggal 17 ahli keluarga Mogana di Tanah Perkuburan Kristian Meru di Klang.

Mogana mahu keluarganya dapat tinggal di rumah yang selesa.

Harapannya itu adalah impian yang nampaknya perlu diusahakan secepat mungkin kerana mereka terpaksa dan bahkan mesti keluar dari kawasan tersebut.

“Tahun lalu, tuan tanah beritahu bangunan ini akan dirobohkan kerana mereka akan membina bangunan baru.”

Nasib mereka baik kerana ia terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

“Namun mereka rancang untuk teruskan rancangan tersebut pada akhir tahun ini,” kata Mogana.

“Kami tidak tahu ke mana kami akan pergi selepas ini.”

 

Mogana yakin jika ada tempat tinggal, mereka mampu untuk membayar sewa bulanan.

“Kami hanya ada masalah untuk mencari rumah dan bayaran deposit, kerana ia memerlukan wang yang banyak sekali gus,” katanya.

Berdepan keadaan sedemikian, tanpa wang dan keluarga yang dapat membantu, masa depan mereka terus menjadi teka-teki yang tiada jawapan.

“Kami miskin, orang tak ingat tentang kami walaupun kami adalah ahli keluarga mereka,” kata Mogana.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.