- Iklan -
Berita

Doktor kontrak bakal cari kerja di luar negara?

Ramai yang tawar hati berikutan kurangnya penyelesaian jangka panjang mengenai masalah yang dihadapi mereka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Doktor kontrak memegang plakad ketika mengadakan himpunan secara aman di Hospital kuala Lumpur pada Julai lalu.
Doktor kontrak memegang plakad ketika mengadakan himpunan secara aman di Hospital kuala Lumpur pada Julai lalu.

Malaysia bakal menyaksikan penghijrahan doktor kontrak ke luar negara apabila tuntutan untuk diserap sebagai doktor tetap tidak direalisasikan dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan baru-baru ini, kata kumpulan doktor kontrak.

Mereka berkata, semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz hanya memaklumkan kerajaan bersetuju melanjutkan lantikan secara kontrak kepada 10,000 pegawai perubatan.

Keputusan itu dianggap oleh kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) sebagai tidak memberikan penyelesaian jangka masa panjang berhubung tuntutan mereka.

Seorang bekas doktor kontrak yang hanya mahu kenali sebagai MJ berkata, situasi ini dikhuatiri akan menyebabkan doktor-doktor kontrak tawar hati untuk terus berkhidmat dalam negara.

“Saya bercadang untuk berpindah ke Australia,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Mengenai penghijrahan, ia bukan perkara yang senang. Kita perlukan kewangan yang kukuh dan kecekalan.

“Saya dengar keluhan dari rakan-rakan doktor kontrak yang lain yang mereka hendak berhenti dan berpindah ke negara lain, namun situasi kewangan mereka tidak mengizinkan.

“Bagaimanapun, jika keadaan kewangan mereka sudah memuaskan, mereka akan tinggalkan negara ini.”

MJ merupakan salah seorang doktor kontrak yang meletakkan jawatan bulan lalu selepas permohonannya untuk ditukar jabatan tidak diendahkan pengarah hospital di tempat dia bekerja.

Katanya, hampir setiap hari ada pegawai perubatan kontrak yang meletakkan jawatan.

Kini, dia dalam proses menyiapkan dokumentasi bagi melengkapkan penghijrahannya ke Australia.

Singapura menyaksikan peletakan jawatan pegawai kesihatan yang tertekan susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di negara republik itu.

Kira-kira 1,500 pekerja berhenti sehingga pertengahan tahun ini sahaja berbanding 2,000 setiap tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Peletakan jawatan membabitkan doktor dan petugas kesihatan warga asing.

Menurut MJ, negara-negara luar seperti Singapura, Australia, United Kingdom sedang membuka ruang dan memudahkan proses penghijrahan doktor dari negara luar untuk pindah dan bekerja.

Jurucakap kumpulan HDK, Dr Mustapha Kamal berkata, kemungkinan berlaku penghijrahan doktor kontrak sekiranya isu yang dihadapi mereka tidak diselesaikan.

“Saya tidak tahu sekiranya ada antara mereka yang sudah mendapat tawaran daripada negara luar. Apa yang pasti, ramai yang kecewa dengan Belanjawan 2022,” katanya kepada MalaysiaNow.

Situasi penghijrahan ke negara luar dikhuatiri bakal memberi cabaran kepada kerajaan dalam aspek pengganti kepada doktor-doktor pakar sedia ada, namun kata Mustapha, itu bukan urusan mereka.

“Sepatutnya pembuat polisi sudah membuat unjuran 10 ke 20 tahun,” katanya.

Difahamkan, HDK akan melancarkan hartal kali kedua pada bulan depan.

Hartal kali pertama dilancarkan di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara pada 26 Julai lepas.

MJ yang pernah berkhidmat sebagai doktor kontrak di sebuah hospital Sultan Ismail di Johor itu memberi amaran sukar untuk kerajaan memulihkan sistem kesihatan sekiranya keadaan semakin memburuk pada masa akan datang.

“Perkhidmatan kesihatan merupakan keperluan asas yang diperlukan sepanjang masa. Golongan T20 dan M40 mungkin boleh membiayai insurans kesihatan tetapi golongan B40 satu-satunya pilihan ialah sistem kesihatan kerajaan.

“Kita sedang menyaksikan temujanji pesakit untuk penyakit seperti diabetes dan darah tinggi ditunda. Ini kerana doktor tidak mencukupi di klinik, jadi kita boleh bayangkan jika jumlah doktor yang akan berhenti meningkat. Tahap kesihatan untuk B40 semakin teruk,” kata MJ.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Koh Kar Chai berkata doktor kontrak yang tamat tempoh kontrak mungkin akan berhijrah ke luar negara seperti Singapura, namun tidak ramai yang akan tertarik dengan prospek kerja di negara republik sekiranya tawaran tidak cukup lumayan.

“Tawaran kerja berdasarkan kontrak dengan bayaran yang hanya baik sedikit jika kita mengambil kira kos sara hidup yang tinggi di negara itu.

“Apa yang akan menarik minat mereka ke Singapura ialah jawatan tetap dengan prospek bidang kepakaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas mengenai pemberhentian kerja doktor kontrak, Koh berkata situasi itu sememangnya dijangka namun setiap tahun, ramai juga doktor yang tamat pengajian dan bersedia untuk diserap ke dalam kementerian.

Sebelum mencari prospek kerjaya di luar, Koh berkata doktor-doktor kontrak mungkin akan mencari peluang pekerjaan dalam sektor swasta terlebih dahulu, namun sektor itu juga mengalami kesukaran menyerap jumlah doktor kontrak.

“Tawaran dari negara luar akan sentiasa ada namun keadaan di sana juga terdapat persaingan dan kawalan,” katanya.

Bagi MJ, faktor penghijrahan bukanlah disebabkan wang, lebih penting daripada itu, kerajaan tidak menghormati doktor kontrak.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.