- Iklan -
Berita

1MDB diurus seperti ‘kedai kopi Cina Petaling Street’, kata Sri Ram

Sri Ram turut membidas soal balas pembelaan terhadap bekas CEO 1MDB menyifatkan ia tidak relevan dengan kes.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram. Gambar: Bernama
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram. Gambar: Bernama

Pengurusan operasi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti mengurus kedai kopi Cina, kata pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi hari ini.

Perumpamaan itu dibuat oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram semasa perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Sri Ram, yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, berkata demikian ketika membantah pemeriksaan balas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, yang disifatkan tidak relevan dengan pembelaan Najib.

“Apa sekalipun kita setuju, hal ehwal 1MDB dijalankan dan diurus bagaikan sebuah kedai kopi Cina di Jalan Petaling.

“Bagi kami, Jho Low (merujuk kepada ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho) adalah ‘alter ego’ serta bayangan tertuduh (Najib) dan mereka bekerjasama… kami boleh terima pemeriksaan balas yang sebegini hanya kerana ia sama sekali tidak relevan dengan kes kami,” kata Sri Ram kepada hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu hakim Sequerah mempersoalkan bentuk soalan Wan Aizuddin terhadap Mohd Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10 mengenai prospektus yang diserahkan kepada Bursa Malaysia untuk cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) bagi sebuah anak syarikat 1MDB, yakni 1MDB Energy.

Semasa menjawab soalan peguam, saksi berusia 49 tahun itu berkata dia hanya mempunyai pengetahuan asas mengenai IPO dan hanya tahu mengenai draf prospektus itu sahaja, sambil menambah dia tidak dapat mengingati tarikh sebenar prospektus itu diserahkan kepada Bursa pada tahun 2014.

Bagaimanapun Wan Aizuddin yang mewakili Najib terus menekan saksi itu berhubung pengeluaran IPO 1MDB Energy.

Sequerah: Kemana hala tuju soalan anda ini, dan apa tujuan soalan berkaitan dengan IPO ini? Saksi ini sudah pun beritahu bahawa dia tidak tahu sangat mengenai penyenaraian. Apa kaitannya dengan pembelaan anak guam anda?

Wan Aizuddin: Ia bertujuan menunjukkan bahawa terdapat salah pengurusan dalam 1MDB, yang menyebabkan anak guam saya dipersalahkan.

Peguam itu berkata sama seperti pendakwaan, pihak pembelaan juga perlu membuktikan kes mereka bahawa terdapat kecuaian dan salah laku dalam hal ehwal 1MDB yang lakukan oleh Jho Low.

Hakim Sequerah kemudiannya meminta Wan Aizuddin meneruskan perbicaraan dengan bentuk soalan berikutnya, dan meminta beliau menyatakan niatnya dalam penghujahan nanti.

“Sekiranya saksi beritahu anda yang dia tidak tahu, berhenti sahaja di situ dan masukkan ia dalam penghujahan anda nanti,” kata hakim Sequerah.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung esok.