- Iklan -
Berita

Adly Zahari calon ketua menteri PH

Adly merupakan ketua menteri dari Amanah selepas memenangi PRU14 namun pentadbirannya digulingkan tahun lalu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pakatan Harapan mengumumkan keputusan pencalonan Adly Zahari sebagai ketua menteri ketika spekulasi hangat mengatakan Idris Haron bakal terpilih ke jawatan itu selepas bersama gabungan tersebut.
Pakatan Harapan mengumumkan keputusan pencalonan Adly Zahari sebagai ketua menteri ketika spekulasi hangat mengatakan Idris Haron bakal terpilih ke jawatan itu selepas bersama gabungan tersebut.

Bekas ketua menteri Melaka ke-11, Adly Zahari menjadi calon pilihan ketua menteri Pakatan Harapan (PH) sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

Pemilihan calon Amanah di Bukit Katil itu diumum oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim hari ini, sekali gus menamatkan teka-teki pemilihan calon ketua menteri daripada blok pembangkang itu.

Sebelum ini, PH dilihat berbelah bahagi antara beberapa nama termasuk Idris Haron yang juga bekas ketua menteri dan juga Shamsul Iskandar Md Akin yang bertanding di Paya Rumput.

DAP sebelum ini bertegas supaya Adly dicalonkan sebagai ketua menteri sehingga memboikot majlis pengumuman calon PH oleh Anwar.

Sementara itu, Anwar turut menyatakan keyakinannya bahawa PH mampu membentuk kerajaan negeri tanpa perlu berunding dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan cuba dapatkan kekuatan yang solid supaya tiada lagi gangguan pihak-pihak terentu.

“Semua (parti) akan bekerja untuk memenangkan 28 calon PH,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon ketua menteri dan pelancaran manifesto PH bagi PRN Melaka.

Terdahulu, awal hari ini Adly gagal mendapatkan kebenaran dari mahkamah untuk membatalkan PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.

Ketika menolak permohonan bekas ketua menteri itu, hakim berkata keputusan Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN Melaka tidak boleh diadili dan ia tidak memiliki merit untuk mengemukakan hujah lanjutan.

Adly yang merupakan pengerusi PH Melaka akan bertanding untuk mengekalkan kerusi Bukit Katil dalam pertembungan empat penjuru pada PRN kali ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.