- Iklan -
Berita

Di sebalik kemalapan layar perak Malaysia

Walaupun bajet adalah salah satu masalah utama industri perfileman, namun terdapat halangan lain dalam usaha memacu industri itu ke tahap lebih tinggi.

Danisyah Dalily
4 minit bacaan
Kongsi
Krew produksi melakukan babak penggambaran sebuah telemovie di Sungai Lui, Kampung Gabai Hulu Langat.
Krew produksi melakukan babak penggambaran sebuah telemovie di Sungai Lui, Kampung Gabai Hulu Langat.

Walaupun Malaysia adalah antara negara terawal di rantau ini yang menyaksikan pembangunan rancak industri perfileman, namun timbul persoalan apakah era keemasannya hanya dikecapi ketika negara memiliki tokoh seperti P Ramlee atau masih adakah masa depan yang lebih cerah bagi industri tersebut.

Ketika industri perfileman Malaysia sudah mencapai kemajuan ketara dari segi teknologi dan capaiannya berbanding era Jalan Ampas.

Namun jika diukur dengan produksi antarabangsa, Malaysia masih dianggap ketinggalan.

Hakikat ini menimbulkan persoalan sama ada ia mampu bersaing dengan pengeluar filem-filem dari luar negara baik dari industri Bollywood, Hollywood dan kini gelombang besar yang melanda pasaran sinematik tempatan – drama dan filem Korea Selatan atau lebih dikenali sebagai Hallyu.

Lina Tan, yang merupakan anggota lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata salah satu masalah yang terus dihadapi industri filem Malaysia ialah bajet.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Tak membuat perbandingan dengan bajet yang diperuntukkan dalam industri filem antarabangsa seperti Hollywood.

“Mereka membuat filem dengan bajet lebih AS$200 juta kerana mahu menjualnya kepada dunia. Di Malaysia, purata bajet filem kita adalah kira-kira RM1.5 juta hingga RM2.5 juta bagi sesebuah filem,” katanya.

Menurutnya, walaupun bakat dan kreativiti sangat penting dalam industri perfileman, namun baginya, peruntukan wang filem juga adalah satu perkara utama.

“Orang ramai fikir filem hanyalah satu seni, kononnya kita boleh bikin dengan mudah dan bayar pemain industri kita gaji yang tak sepadan, namun hakikatnya tidak,” tambah Tan yang merupakan pengasas dan penerbit eksekutif bagi rumah penerbitan Red Communications.

“Kami masih perlu bersikap profesional, terutamanya dalam memastikan penggiat penerbitan filem mempunyai kerjaya.”

Penulis skrip dan pengarah Afiza Asram bersetuju penerbitan filem Malaysia menghadapi kekurangan bajet.

“Filem kita sudah jauh ketinggalan,” katanya sambil memberi contoh ikon perfileman negara, P Ramlee.

“Filem P Ramlee, misalnya, telah menemui penonton global. Kita boleh pergi lebih jauh tetapi masalah bajet perlu dihadapi.”

Namun, katanya, ia bukan bermakna Malaysia tidak mampu membikin filem dengan apa yang ada ketika ini.

“Kita boleh buat filem kos rendah,” kata Afiza.

“Saya sendiri lihat beberapa filem kos rendah yang sangat bagus. Tetapi untuk capai pasaran global, kita sangat memerlukan wang dan insentif lain bagi penerbitan filem.”

Kebiasaannya, dana untuk penerbitan datang melalui syarikat pengeluar filem, melalui tajaan atau melalui permohonan subsidi dan geran daripada kerajaan.

Walaupun kerajaan memainkan peranan besar dalam menyokong dan memperluaskan industri kreatif, Tan dan Afiza berkata pembikin filem tidak boleh bergantung dengan wang kerajaan sahaja.

“Sudah 30 tahun saya terbitkan filem, namun saya hanya terima dua insentif dari Finas,” kata Tan.

“Anda tidak boleh bergantung pada insentif. Jika anda buat begitu, anda tidak akan dapat pergi ke mana-mana kerana anda tidak akan bertanggungjawab dengan apa yang anda lakukan.”

Dia bercakap mengenai filem-filem yang mendapat sokongan dari Finas yang akhirnya menemui kegagalan kerana pembikin tidak berusaha gigih dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi.

“Apabila pembuat filem mempunyai pemikiran bahawa mereka tidak perlu memberikan yang terbaik kerana mereka mendapat wang percuma, itu adalah masalah,” tambahnya.

Perkara tersebut turut berkait dengan satu lagi masalah dalam industri perfileman Malaysia: iaitu mencari orang yang berpengalaman.

“Kita masih kurang penerbit berpengalaman di Malaysia,” kata Tan.

“Kita perlukan orang berpengalaman yang tahu apa yang perlu dilakukan dengan peruntukan wang yang kita perolehi.”

Selain itu, katanya, wujud juga masalah dalam mencari pengarah, penulis dan pelakon yang bagus.

Walaupun wujud bakat-bakat besar yang mampu bersaing dengan di peringkat antarabangsa, Tan berkata wujud juga ramai dalam kalangan pemain industri yang tidak berusaha bersungguh-sungguh.

Menurutnya, mereka yang bercita-cita untuk berjaya dalam industri perfileman mesti mempunyai pemikiran yang berdaya saing, katanya, sentiasa berusaha gigih dalam usaha memperbaiki kerja selain tidak senang berpuas hati dengan “cukup baik”.

Afiza berkata, penapisan filem bukan masalah besar kerana Malaysia tidak menyekat kreativiti pembikin filem walaupun ia kurang terbuka berbanding negara lain.

Namun, isunya ialah tahap penapisan yang berbeza dalam pelbagai platform seperti stesen televisyen dan perkhidmatan strim dalam talian seperti Netflix.

Afiza memberikan contoh filem “Sa Balik Baju”, sebuah filem tempatan tentang enam wanita yang mendapat pujian daripada pemain industri dan penonton kerana jalan cerita dan mesej yang dibawanya.

Filem itu kini mendaki carta dalam Netflix Malaysia sehingga akhirnya menjadi filem yang paling banyak ditonton dan kekal dalam kalangan 10 tertinggi dalam negara.

Sebagai penulis skrip filem tersebut, Afiza berkata antara matlamat pembikinannya adalah untuk meruntuhkan tembok dan membawa isu sebenar kepada khalayak penonton.

“Kami tidak memikirkan platform mana yang akan digunakan. Ini memberi kami lebih banyak kebebasan dalam meneroka hal-hal yang melibatkan penapisan, dan kami cuba banyak perkara yang tidak pernah kami buat sebelum ini,” katanya.

Tindakan itu nampaknya membuahkan hasil, walaupun sempat dikecam beberapa pihak yang mengatakan ia terlalu terbuka dan melibatkan topik yang dianggap “taboo” dalam kalangan rakyat Malaysia.

Hal ini juga, katanya merupakan satu lagi masalah bagi pembikin filem.

“Salah satu masalah terbesar saya ialah perlu menangani mentaliti yang mahu haramkan semua hal yang kita tidak selesa dan bukannya cuba berbincang dan mendidik diri sendiri serta masyarakat di sekeliling kita,” kata Tan.

“Pembikin bukannya buat sesuatu hal yang menghina. Mereka hanya mahu mendidik orang ramai dan menunjukkan dunia sebenar apa adanya.”

Baginya, seni adalah satu hal yang memerlukan seseorang berfikiran terbuka.

“Jika kita tidak membuka minda kita, ia akan menyekat pemikiran dan kita akan sentiasa tersinggung dengan perkara yang kecil.

“Terdapat begitu banyak ruang sukar yang perlu kami lalui sebelum kami boleh bikin filem, termasuk dalam isu mendapatkan wang,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.