Sebanyak 77.75% atau hampir 800,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyelesaikan pembayaran pinjaman mereka.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata 2.4 juta peminjam telah menamatkan pengajian mereka setakat ini, dan PTPTN sepatutnya menerima hampir RM24.6 bilion bayaran balik pinjaman.
“Sebanyak 400,000 peminjam sedang membuat pembayaran balik secara konsisten dan kira-kira 700,000 peminjam membuat bayaran balik tetapi tidak konsisten,” katanya menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang ingin tahu mengenai status tunggakan PTPTN terkini di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini berkata sehingga September lepas, PTPTN telah mengutip RM15.5 bilion bayaran balik pinjaman daripada peminjam.
Beliau berkata pihaknya mendapati pemberian insentif seperti diskaun pembayaran balik berjaya menarik minat peminjam-peminjam membuat bayaran balik kepada PTPTN.
“Antara inisiatif PTPTN yang baru-baru ini diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz bagi menggalak pembayaran balik peminjam, diskaun 15% atas baki hutang bagi penyelesaian penuh pinjaman, 12% diskaun bagi pembayaran separuh baki hutang dan 10% bagi pembayaran balik dibuat secara potongan gaji,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kredit harus diberikan kepada kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak atas inisiatif memperkenalkan insentif bayaran balik PTPTN Anak Sarawak kepada peminjam negeri itu yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus pinjaman mereka.
“Inisiatif ini dilihat banyak membantu meringankan komitmen serta menggalakkan pembayaran balik pinjaman khususnya dalam kalangan peminjam kelahiran Sarawak,” katanya.
Menurutnya pada 2020, seramai 9,321 peminjam mendapat manfaat daripada insentif yang pertama seumpamanya di negara ini.
Noraini menjawab soalan asal Lukanisman mengenai status insentif pembayaran PTPTN Anak Sarawak dan bilangan yang memanfaatkan skim tersebut.