- Iklan -
Berita

Siapa pun kerajaan, jangan buli kami, kata etnik Portugis Melaka

Mereka berdepan dengan ancaman kepupusan budaya dan kampung akibat projek tambak laut, status geran tanah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana pandangan dari udara perkampungan Portugis di Melaka.
Suasana pandangan dari udara perkampungan Portugis di Melaka.

Walau terdapat beberapa perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri berlaku sebelum ini dan satu lagi mungkin bakal terjadi pada Sabtu ini, anggota perkampungan Portugis di Melaka hanya memikirkan tentang satu perkara: masa depan penempatan mereka yang aman dan tenang di Ujong Pasir.

Ancaman terbesar kepada masa depan 1,500 anggota komuniti ini ialah berkaitan pemilikan tanah kawasan yang menempatkan kampung mereka, sejak ia dibina dan sehingga kini, ia masih dikategorikan sebagai pegangan pajak walaupun sudah beberapa tahun cuba menukar pemilikan mereka kepada pegangan kekal.

Penempatan tersebut diasaskan pada 1930 oleh dua paderi dengan bantuan penjajah Inggeris.

Menurut aktivis komuniti itu, Martin Theseira berkata, menurut sejarah kedua-dua paderi tersebut membeli tanah tersebut di bawah geran Belanda selama 999 tahun.

“Namun selepas kemasukan pihak Convent yang dianggap pihak asing, geran asal dibatalkan dan tanah ini diletakkan di bawah ‘Crown Land’, bermakna ia menjadi tanah kerajaan.

“Tanah ini kemudiannya diberikan status pajakan selama 99 tahun bermula 1970-an,” katanya kepada MalaysiaNow.

Aktivis masyarakat, Martin Theseira melihat ke arah penambakan pantai bagi projek pembangunan komersial Melaka Gateway, sekali gus menjadi masalah kepada nelayan diperkampungan itu.

Etnik Portugis tiba di Asia Tenggara apabila kuasa Eropah itu menakluki Kesultanan Melayu Melaka pada 1511.

Mereka menetap di Melaka sehingga kini dan sudah bercampur dan berasimilasi dan digelar geraguk.

Bahasa mereka pula dikenali sebagai “Portugis Creole”.

Katanya, pajakan tanah kampung itu hanya tinggal sekitar 20-30 tahun.

Meskipun ada “janji mulut” daripada pihak berkuasa, namun katanya itu tidak menjamin status kampung selepas tamat tarikh pajakan.

Perkampungan Portugis itu merupakan satu-satunya yang masih tinggal, selepas beberapa perkampungan di Tengkera dan Bandar Hilir ditelan arus pembangunan moden.

Etnik Portugis juga pernah mengadakan protes terhadap projek tambak laut di Bandar Hilir namun tiada respons dari pihak kerajaan negeri.

Kini, etnik itu dihantui tambakan laut Melaka Gateway yang berlaku di depan kampung mereka.

Projek pembangunan pesisir pantai itu dilancarkan pada 2014 oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.

Seorang Nelayan, Baboi menunjukkan hasil tangkapan udang laut.

Theseira berkata, ia bakal memusnahkan kehidupan nelayan etnik itu dan juga suasana “sea front” di kampung itu.

Katanya, projek itu tidak mengambil kira pandangan dan konsultasi penduduk kampung Portugis.

Ia juga didakwa tidak mengikuti kriteria yang ditetapkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Dahulu kami ada kampung di Tengkera dan Bandar Hilir, tapi kami serahkan atas nama pembangunan. Ini kampung yang terakhir kami.

“Kami tak kisah siapa jadi kerajaan, tapi janganlah buli kami, kami hanya komuniti kecil,” katanya.

Nelayan Portugis tak boleh cari makan

Tambakan laut itu juga mengganggu periuk nasi nelayan etnik Portugis.

Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Baboi berkata, projek itu mengakibatkan tangkapan udang geragau berkurangan dengan mendadak.

Udang itu digunakan untuk penghasilan belacan.

Ini kerana arus air laut yang terganggu akibat tambatan itu bermakna udang geragau sukar ditangkap di kawasan yang kebiasannya dilalui.

“Kita punya tangkapan (geragau) tinggal 10%, tapi kalau kita cakap (kepada pihak berkuasa), mereka tak boleh terima,” katanya kepada MalaysiaNow.

Baboi sedang mengasingkan hasil tangkapan ikan pada pukat sambil berbual dengan Tony De Mello (kiri) di Melaka.

Nelayan berusia 60 tahun itu berkata tangkapan di kawasan Tanjung Kling juga berhadapan masalah sama.

Baboi juga berharap kerajaan mendengar keluhan para nelayan di situ.

Katanya, kos untuk turun ke laut bukan murah.

Tangkapan yang berkurangan hanya menyukarkan kehidupan mereka kelak.

Theseira berkata, kesan awal projek itu ialah apabila komuniti nelayan terpaksa menganjak kawasan mendarat mereka jauh daripada komuniti.

“Ini adalah ‘first casualty’ projek itu- memisahkan nelayan daripada komuniti utama di sini,” katanya.

Theseira yang kini mengusahakan acar berkata, etnik Portugis tidak meminta bulan dan bintang kepada kerajaan, namun meminta sesiapa yang menjadi kerajaan untuk menjaga warisan, kelangsungan dan identiti etnik itu.