Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menulis sebuah lagi buku mengenai persaraannya dan kemasukan semula diri ke dalam kancah politik bagi mengetuai gabungan Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
“Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia” disifatkan penerbitnya, MPH sebagai “satu suara jujur dan terkadang tajam dalam membincangkan beberapa kesukaran yang dihadapi kerajaan PH” sebelum kejatuhannya selepas 22 bulan mentadbir negara.
Buku itu juga memaparkan bagaimana Mahathir kembali aktif dalam politik dan bagaimana “pengkhianatan berlaku dari dalam gabungan itu sendiri” sehingga membawa kepada kejatuhan PH daripada kerajaan.
Pada awalnya, buku itu dirancang sebagai buku susulan kepada memoir Mahathir yang diterbitkan pada 2011, “A Doctor in the House”.
“Namun disebabkan perubahan dalam kerajaan dan wabak melanda pada awal 2020, proses buku itu juga terpaksa berubah,” kata MPH dalam satu kenyataan menjelang pelancarannya pada 21 Disember depan.
Menjanjikan sebuah buku di mana Mahathir akan “menceritakan semuanya”, ia berkata “Capturing Hope” akan melihat pemimpin veteran itu cuba “membetulkan beberapa perkara” berhubung kerajaan PH dan penggal kedua beliau sebagai perdana menteri.
“Sama ada seseorang itu bersetuju dengan Mahathir atau tidak, mustahil untuk seseorang menafikan impak yang beliau berikan – dan akan terus mempengaruhi landskap politik Malaysia.
“Buku ini diterbitkan bagi membincangkan kesan dan impak tersebut serta perjuangan Mahathir yang belum selesai bagi mengelakkan Malaysia terjerumus dalam dinamik politik yang merosakkan akibat rasuah dan perpecahan dalam negara sejak sekian lama,” katanya.
Mahathir turut bersama Muhyiddin Yassin dalam usaha menubuhkan Bersatu pada 2016 bagi mencabar Umno yang dipimpin perdana menteri ketika itu, Najib Razak sewaktu kemuncak pendedahan skandal 1MDB.
Kemudian, beliau turut mengambil langkah bekerjasama dengan PH bagi menamatkan enam dekad pemerintahan Barisan Nasional sekali gus menjadi ketua kerajaan baru dipimpin PH.
Pelantikan beliau sebagai perdana menteri PH menjadikan beliau sebagai ketua negara tertua di dunia pada usia 93 tahun.
Namun, berikutan kontroversi mengenai peralihan kuasa yang dijanjikan kepada bekas musuhnya Anwar Ibrahim bagi menggantikannya sebagai perdana menteri, keretakan muncul dalam kerajaan PH.
Pada awal 2020, gabungan itu akhirnya tumbang sehingga mencetuskan perpecahan dalam PKR dan Bersatu.
Mahathir kemudiannya meletak jawatan pada Februari 2020, dan kerajaan beralih kepada pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Presiden Bersatu Muhyiddin.