- Iklan -
Berita

PN umum calon ketua menteri esok

Calon ketua menteri di Melaka akan diwakili Bersatu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera dari Parti Bersatu dan Perikatan Nasional berkibar di Pantai Padang Kemunting sepanjang kempen PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.
Bendera dari Parti Bersatu dan Perikatan Nasional berkibar di Pantai Padang Kemunting sepanjang kempen PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon ketua menteri gabungan itu esok, kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin.

Beliau berkata calon ketua menteri itu akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan itu, bagi memilih individu yang diterima masyarakat secara keseluruhannya serta mampu mendapat sokongan daripada pengundi di atas pagar.

“Jadi kalau pun beliau datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja, di mana Tun Teja berperanan membangunkan negeri Melaka, jadi apa salahnya kalau kali ini kita meletakkan seorang wanita.

“Kita juga ada beberapa doktor, profesional, jurutera, ini kita akan bincangkan dan akan kita umumkan insya-Allah pada esok hari,” katanya hari ini.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 11 November dilaporkan berkata gabungan itu akan mengumumkan calon ketua menteri dari Bersatu, sebelum hari pengundian pada 20 November ini untuk menerajui kepimpinan Melaka, jika pakatan itu diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setakat ini, Barisan Nasional menamakan Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri, manakala Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan.

PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 November ini dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Sementara itu, Hamzah mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Adun Asahan Abdul Ghafar Atan, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.

“Takziah kepada keluarga bekas Adun Asahan Abdul Ghafar Atan, baru sahaja saya dapat berita bahawa beliau telah meninggalkan kita.

“Beliau juga merupakan sahabat dalam politik ini. Dalam pejuangan kadang kala sahabat akan terus jadi sahabat, tetapi dalam nak menentukan masa depan, perjuangan lebih mustahak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Ghafar yang juga bekas exco perumahan, kerajaan tempatan dan alam sekitar negeri itu, mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka selepas disahkan positif Covid-19 sejak minggu lepas.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.