Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertikaikan peruntukan sekitar RM100 juta untuk pembinaan rumah Najib Razak walaupun bekas perdana menteri itu sudah disabitkan kesalahan dan menunggu hukuman penjara.
Bercakap di Dewan Rakyat, Mahathir menyifatkan Najib sebagai seorang “banduan” di mana beliau telahpun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan didenda melebih RM200 juta berhubung dana 1MDB dan SRC International.
“Setakat kita tahu dia adalah satu banduan yang didapati bersalah, dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih RM200 juta.. Yang dia tak masuk penjara dan tak bayar denda.
“Inikah jasa yang kerajaan yang ada sekarang ini nak balas budi? Jadi PM yang akan datang semua akan curi duit. Sebab lepas curi duit, dapat tambah duit lagi.. dan duit yang dicuri pun dibagi balik. Ini kerajaan baru dan dasar baru,” katanya.
Menurut Mahathir, mengikut peraturan, belanjawan yang dikemukakan pada Dewan rakyat ini perlu dibahas sebelum ia dapat dilulus atau tidak, namun peruntukan tersebut didapati tidak dibentangkan oleh menteri kewangan.
“Tetapi saya dapati bahawa ada satu item yang tak disebut dalam bajet tetapi sekarang ini sudah timbul di khalayak ramai. Bajet ini berkenaan hadiah kepada YB bekas perdana menteri, Najib,” kata ahli Parlimen Langkawi itu ketika mencelah ucapan penggulungan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkenaan Belanjawan 2022.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.
“Keistimewaan” kepada Najib turut termasuk penganugerahan pemilikan sebuah tanah premium dengan keluasan lebih 120,000 meter persegi di Bukit Petaling, kawasan kejiranan eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, selain pembinaan banglo di kawasan itu melibatkan kos RM100 juta.
Difahamkan Najib membuat permohonan rasmi kepada kerajaan awal tahun ini susulan lawatan ke tanah kosong tersebut.
Mahathir turut menggesa penjelasan diberikan mengenai apakah jasa yang dibuat oleh Najib sehingga melayakkan beliau mendapat “hadiah” tersebut, sedangkan ahli Parlimen Pekan itu sudah sepatutnya sudah dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahannya.
“Saya sendiri masa jadi PM 22 tahun.. saya tak ambil satu keping tanah pun.. Cuma pencen saya sahaja.
“Tapi ini buat kerja sekian lama, curi duit, seleweng duit, salah guna duit, salah guna kuasa, dapat hadiah RM100 juta.”
Beliau terus menggasak dengan mempersoalkan peruntukan bagi rumah Najib itu, mengatakan RM40 juta bagi pembinaan sebuah rumah adalah satu jumlah yang besar.
“RM60 juta untuk beli tanah dan RM40 juta untuk bangun satu bangunan untuk banduan ini. RM40 juta tu banyak sangat, buat rumah PM RM26 juta saja.. yang saya duduk situ dulu.
“Tapi ini yang buat salah dapat RM100 juta, sepatutnya menteri kewangan jelaskan kenapa bagi wang kepada penyangak.
“Ini orang patut ada dalam jail tapi dia bebas boleh pergi ke Singapura.”