- Iklan -
Berita

Indonesia tahan ulama MUI, didakwa terlibat danai pengeboman Bali

Anggota badan fatwa Majlis Ulama Indonesia, Ahmad Zain An-Najah didakwa menubuhkan pertubuhan amal untuk mengumpul dana bagi Jemaah Islamiyah.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Anngota badan fatwa Majlis Ulama Indonesia Ahmad Zain An-Najah. Gambar: Twitter
Anngota badan fatwa Majlis Ulama Indonesia Ahmad Zain An-Najah. Gambar: Twitter

Seorang ulama kanan Indonesia ditahan atas dakwaan mengumpul dana untuk disalurkan kepada rangkaian pengganas dikaitkan dengan Al-Qaeda bagi misi pengeboman kelab malam Bali dan beberapa serangan lain.

Ahli pertubuhan Majlis Ulama Indonesia (MUI), Ahmad Zain An-Najah dan dua sekutunya didakwa menubuhkan sebuah pertubuhan amal yang menyalurkan wang kepada Jemaah Islamiyah (JI).

Jurucakap polis, Rusdi Hartono, berkata suspek adalah seorang anggota di bahagian majlis fatwa MUI di mana ia merupakan badan bertanggungjawab mengeluarkan fatwa mengenai agama Islam di negara itu.

“Institusi amal yang ditubuhkan beliau tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan pendanaan dengan berselindung di bawah kerja-kerja sosial dan pendidikan, namun sebahagian (dana yang diterima) digunakan untuk JI,” katanya.

Pada Ogos lalu, polis menahan puluhan suspek pelampau agama yang dikaitkan dengan JI dan berkata kumpulan itu merancang serangan baru ketika Indonesia menyambut ulang tahun kemerdekaannya.

Kumpulan JI hampir berjaya diruntuhkan pihak berkuasa selepas serangan bom di sebuah kelab malam pulau percutian Bali di mana ia mengorbankan lebih 200 orang termasuk puluhan pelancong.

Serangan tersebut dianggap sebagai serangan pengganas terburuk di Indonesia.

Namun, JI dilihat mula membina semula rangkaiannya selepas pemimpin tertinggi pertubuhan itu, Abu Bakar Ba’shir, dibebaskan dari penjara tahun ini selepas menjalani hukuman ekoran sabitan pertuduhan berkaitan keganasan.

JI diharamkan di Indonesia kerana mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda, malah ia turut dikatakan menghantar warga Indonesia untuk berperang di Syria dan Iraq yang dilanda konflik sejak 2011.

Indonesia yang memliki populasi majoriti penganut Islam menjadi pangkalan kepada puluhan pertubuhan pelampau, termasuk beberapa kumpulan yang bersekutu dengan Daesh.

Pada Mac lalu, pasangan Indonesia yang menyokong Daesh meletupkan diri di sebuah gereja di Makassar, Sulawesi, membunuh diri dengan cara mengebom dan mencederakan puluh mangsa lain.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi