- Iklan -
Berita

Keputusan tidak lulus lesen judi satu cara taat perintah Allah, kata MB Kedah

Menurut Sanusi, langkah itu diambil bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan hak asasi manusia atau mendiskriminasi kaum lain.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Langkah kerajaan negeri Kedah untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis di negeri ini bukan bertujuan menyekat kebebasan hak asasi manusia atau mendiskriminasi kaum lain.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata keputusan itu dibuat sebagai satu daripada cara untuk mentaati perintah Allah serta mensyukuri nikmat dikurniakan kepada Kedah.

“…apabila saya jadi kerajaan, nampak nikmat banyak yang mana (nilai) pelaburan masuk tinggi ke negeri ini, malah setiap rumah di negeri ini ada masuk bakul makanan… maka saya buat keputusan untuk tidak lagi menyambung lesen premis perjudian ini sebagai satu daripada cara saya bersyukur atas banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada negeri ini.

“Tapi ada orang bantah guna alasan hak asasi, guna alasan rasisme (yang) hendak menghalang orang bukan Islam. Sebenarnya tidak betul itu semua,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet Kedah 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata tiada satu kajian pun menunjukkan yang aktiviti perjudian menguntungkan malah kerajaan China yang tidak memiliki ramai penduduk dalam kalangan orang Islam pun turut mengharamkan kegiatan itu di negara mereka sejak 1949.

“Negara kita ramai orang Islam, keputusan ini dibuat atas dasar untuk menjaga keharmonian masyarakat dan atas dasar bersyukur dengan nikmat yang banyak,” katanya.

Persidangan DUN Kedah bersambung esok