- Iklan -
Berita

Baru bangkit, peniaga Melaka dihantui larangan rentas negeri jika kes melonjak lepas PRN

Restoran ikan bakar yang mengharapkan pelancongan domestik lahirkan kegusaran gelombang baru Covid-19 selepas PRN Melaka.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan sedang duduk sambil menunggu pesanan untuk menikmati hidangan makanan laut, di medan selera makanan laut di Umbai, Melaka.
Pelanggan sedang duduk sambil menunggu pesanan untuk menikmati hidangan makanan laut, di medan selera makanan laut di Umbai, Melaka.

Pembukaan semua sektor sosial dan ekonomi pada awal bulan lepas membawa seribu satu kelegaan kepada peniaga ikan bakar dan cenderamata di Umbai, Melaka setelah hampir dua tahun aktiviti ekonomi dibuka dan ditutup bergilir-gilir.

Sejak beberapa minggu lepas, jeti Pernu-Umbai seakan hidup kembali apabila pelancong domestik dari luar Melaka memasuki negeri itu.

Para peniaga di situ sememangnya bergantung harap kepada pelancong domestik untuk berkunjung menikmati menu makanan laut Umbai yang terkenal itu.

Melaka sememangnya negeri yang menerima hasil pendapatan besar daripada industri pelancongan dan Umbai antara lokasi yang terkenal dalam kalangan peminat ikan bakar tempatan.

Sedikit demi sedikit, mereka cuba bangkit daripada penutupan perniagaan mereka.

Peniaga makanan laut, Mohd Yunus Shafie meluahkan rasa bimbangnya seandainya berlaku kembali perintah kawalan pergerakan, beliau baru memulakan perniagaan selepas negara memasuki fasa endemik Covid-19.

Mohd Yunus Shafie merupakan pengurus salah sebuah gerai ikan bakar yang diusahakan keluarganya di jeti Umbai.

Katanya, kawasan itu kelihatan “mati” ketika tempoh PKP.

“Kita memang tidak ada pelanggan lain, hanya pelancong dari luar Melaka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak rentas negeri dibuka, kawasan itu perlahan-lahan hidup semula.

Yunus memberitahu dia tidak terus membuka gerai kerana masih takut.

Hanya selepas minggu barulah dia dan keluarga berani membuka gerai, mengikuti jejak beberapa rakannya yang lain.

Terdapat 16 gerai dan perniagaan yang bernaung di bawah persatuan peniaga ikan bakar Pernu Umbai.

“Gerai kami diusahakan keluarga, jadi tiada masalah hendak mendapatkan tenaga kerja.

“Sesetengah gerai masih sukar beroperasi kerana kekangan tenaga kerja,” katanya.

Perniagaan keluarganya itu antara yang menerima bantuan dan geran ketika pelaksanaan PKP.

Dia juga bersyukur kerana masih mampu bertahan sepanjang tempoh perintah berkurung dan larangan rentas negeri.

Sementara itu, bendahari persatuan, Kamsiah Salleh berkata, kempen PRN Melaka yang bermula 8 November lalu tidak memberikan kesan yang diharapkan.

“Tiada crowd yang betul-betul datang sini, kecuali ahli politik yang datang melawat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beberapa pelanggan baru tiba di medan selera Umbai, Melaka memilih ikan dan udang untuk menikmati hidangan makanan laut.

Kamsiah berkata, peniaga yang bernaung di bawah persatuan itu sudah mula membayar semula sewa premis yang tertunggak kepada pihak berkuasa tempatan.

Dia berterima kasih kerana Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka bertolak ansur soal sewa dan tidak memaksa peniaga membayar bayaran tertunggak.

Namun wanita itu tidak sepenuhnya berasa lega dengan keadaan peniaga di situ.

Ini kerana kadar kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 1.0.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran angka itu adalah tanda awal kes positif akan melonjak.

Angka penggunaan katil hospital untuk pesakit Covid-19 di negeri bersejarah itu juga kurang memberangsangkan.

Menurut portal Covidnow, Melaka mencatatkan kadar 82.8% kadar penggunaan katil hospital, ketiga tertinggi selepas Terengganu dan Kelantan.

“Memang kita risau, cuma tak setakut dahulu kerana sudah ada vaksin.

“Kita kena belajar hidup dengan Covid cuma risikonya pada orang yang ada penyakit,” katanya.

Meskipun dia yakin kerajaan tidak akan mengenakan total lockdown semula, rakyat boleh memilih untuk tidak melancong sekiranya mereka menjangkakan kes naik, terutama dua minggu selepas berlangsungnya PRN.

Pakar kesihatan juga memberi amaran gelombang baru Covid-19 bakal melanda negara bulan depan.

Sebagai sejenis perniagaan bermusim, Kamsiah yang berniaga gerai cenderamata itu berkata, mereka hanya mengharapkan jumlah jualan yang tinggi pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Bagi Yunus, tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Kami jarakkan meja untuk tujuan penjarakan fizikal, selain memastikan semua pelanggan lengkap dos vaksin.

“Kami harap tiada lagi PKP, kerana jika ditutup semula sempadan, memang kami akan terduduk habis,” katanya.