- Iklan -
News

Kabinet disaran tidak lulus habuan RM100 juta kepada Najib

Sepatutnya Najib ada perasaan malu kerana menuntut aset yang begitu besar nilainya ketika 53% warga Malaysia dalam kalangan penjawat awam tidak mampu memiliki rumah.

Muhammad Faiz bin Na'aman
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Ramai rakyat Malaysia terkejut semalam apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas perdana menteri Najib Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara. Kononnya ia berdasarkan akta yang telah dipinda ketika tempoh pentadbiran Mahathir Mohamad sewaktu menjadi perdana menteri ke-4 dahulu.

Tidak kira apa jua hujah di pihak Najib dan para fanatiknya, permohonan itu muncul ketika ramai rakyat Malaysia masih tidak berkemampuan untuk memiliki rumah pertama mereka walaupun sudah lama bekerja dan berkeluarga. Statistik awal tahun lepas dari Cuepacs menunjukkan seramai 53% penjawat awam masih tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

Malah masih ramai rakyat marhaen terutama mereka yang bukan penjawat awam, sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat Covid-19.

Sewajarnya Najib ada sekelumit maruah dan perasaan malu apabila menuntut aset yang begitu besar nilainya di waktu negara masih dalam pemulihan bencana wabak.

Cuba bandingkan dengan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang terus bekerja membantu rakyat dan negara dengan menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tanpa menuntut sesen pun elaun daripada pihak kerajaan.

Pesalah penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd hasil wang cukai rakyat itu dikira agak bertuah apabila dirinya bebas ke hulu ke hilir di negara ini atas alasan sedang dalam proses rayuan dan telah membayar ikat jamin kerana terlampau mampu.

Bayangkan jika penjawat awam yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana korupsi, bukan saja dirinya boleh hilang kerja malah tiada lagi apa-apa keistimewaan yang diperolehi termasuk pencen.

Antara sebab kenapa rakyat makin menyampah dengan ahli-ahli politik lama terutama yang telah mencapai status “warlord” dalam politik tanah air ialah bukan saja mereka dilihat begitu kebal dari tindakan undang-undang malah masih dipuja suci oleh para fanatik mereka serta dilihat masih hidup mewah seperti biasa.

Jika di negara maju, contohnya Korea Selatan, bekas presiden negara itu Park Geun-hye hilang segala keistimewaan serta kemudahan sebagai negarawan sebaik sahaja dijatuhi hukuman oleh mahkamah akibat rasuah.

Namun wajar diingat, hak saraan bekas perdana menteri tidak bersifat mutlak. Ia masih tertakluk kepada kebenaran Kabinet. Najib tidak boleh anggap dirinya “entitled” kerana Kabinet boleh buat keputusan untuk menangguhkan pemberian itu sehingga keputusan di mahkamah rayuan diputuskan. Pendek kata penasihat Barisan Nasional itu boleh memohon apa yang beliau mahu namun atas budi bicara jemaah menteri untuk meluluskannya atau tidak.

Terima kasih wajar diucapkan kepada 4 orang menteri Kabinet yang dilaporkan telah membantah cadangan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk meluluskan pemberian tanah premium dan rumah mewah kepada pemimpin Umno pesalah gubahan wang haram itu.

Para menteri yang berani dan masih waras tersebut ialah Zafrul sendiri, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muhammad Faiz Bin Na’aman adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow