- Iklan -
Berita

Penyertaan bekas biskop tingkatkan pengaruh PSB dalam PRN Sarawak, kata penganalisis

Mereka berkata penyertaan Bolly Lapok ke dalam PSB akan mengukuhkan kredibiliti parti itu terutama dalam kalangan pengundi Iban.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas biskop Bolly Lapok (kanan) bercakap pada sidang media  bersama Presiden Parti Sarawak Bersatu Wong Soon Koh.
Bekas biskop Bolly Lapok (kanan) bercakap pada sidang media bersama Presiden Parti Sarawak Bersatu Wong Soon Koh.

Walaupun tarikh belum ditetapkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dinantikan ramai orang, parti-parti politik di negeri itu memulakan usaha untuk mendapatkan sokongan dari akar umbi masyarakat, menyedari setiap undi sangat bernilai dalam merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi Parti Sarawak Bersatu (PSB), parti serpihan Gabungan Parti Sarawak (GPS), usaha digandakan sejak setahun lalu kerana sedang berusaha untuk mencapai matlamat meraih undi di kerusi majoriti Dayak selain kawasan majoriti Cina.

Ketika GPS dilihat berada pada kedudukan yang kukuh, PSB harus mengambil langkah dan strategi baru bagi memenangi sokongan pengundi.

Terbaru, presidennya Wong Soon Koh mengumumkan Bolly Lapok, bekas biskop Gereja Wilayah Asia Tenggara di Sarawak menyertai parti itu – satu langkah yang dilihat penganalisis politik mampu meningkatkan kredibiliti PSB, terutama dalam kalangan pengundi masyarakat Iban.

“Memandangkan PSB menguar-uarkan partinya mewakili pelbagai kaum, Bolly berkemungkinan akan mengetengahkan isu pelbagai budaya berkaitan Sarawak,” kata felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun kepada MalaysiaNow.

“Dengan menerima tokoh agama seperti Bolly, PSB sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pencabar serius dalam PRN akan datang,” katanya.

James Chin dari Universiti Tasmania bersetuju penyertaaan Bolly, yang juga ketua biskop gereja Anglikan akan mengukuhkan kedudukan PSB menjelang pilihan raya yang bakal dijalankan.

“Saya fikir penyertaan Bolly ke dalam PSB akan memberi impak yang akan meningkatkan kredibiliti kepada parti,” kata Chin sambil menambah lebih separuh daripada penduduk Sarawak adalah terdiri daripada kalangan bukan Islam, di mana penganut Kristian membentuk kira-kira 70% populasi.

Wong sendiri menyatakan keyakinannya keputusan Bolly untuk menyertai PSB menunjukkan aspirasi parti itu dalam perjuangannya mengangkat hak Sarawak.

Dalam pada itu, Bolly pula berkata, PSB yang merupakan parti politik tempatan dan mandiri adalah platform terbaik untuk beliau menyuarakan kebimbangannya, terutama mengenai hak masyarakat bukan Islam dalam mengamalkan kepercayaan mereka.

Selain daripada naratif inklusiviti, Chin berkata penampilan pemimpin Kristian dalam politik menunjukkan kebimbangan semakin meningkat berhubung pergolakan politik di semenanjung.

“Ia juga menunjukkan penganut Kristian bimbang dengan hala tuju Sarawak,” katanya.

Di Malaysia, kata Chin, jarang pemimpin agama Kristian atau bukan Islam terlibat menyertai politik, tidak seperti negara-negara lain terutama di Amerika Latin atau di negara jiran, Filipina di mana paderi turut terlibat secara aktif dalam politik.

Namun parti seperti PAS adalah contoh utama tokoh agama, baik yang masih berkhidmat atau bersara, dikaitkan dengan politik.

Chin berkata, pemimpin agama Islam kelihatan lebih aktif dalam politik Malaysia berbanding pemimpin agama lain.

Menurut Chin, dengan penyertaan Bolly, PSB berpeluang memenangi sokongan pengundi.

Sementara itu, Oh pula yang berpendirian mahu tunggu dan lihat dengan perkembangan terbaru itu, mengatakan keputusan pilihan raya yang dijalankan nanti akan menjelaskan kedudukan sebenar politik negeri itu.