- Iklan -
Berita

Pengundi didapati positif Covid-19, 1 saluran mengundi ditutup sementara

Pusat mengundi Alor Gajah diarah tutup sementara pada pukul 2.30 tengah hari tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menjalankan sanitasi di pusat pengundian ketika pengundi masuk untuk membuag undi pada PRN Melaka hari ini.
Petugas kesihatan menjalankan sanitasi di pusat pengundian ketika pengundi masuk untuk membuag undi pada PRN Melaka hari ini.

Satu saluran mengundi di sebuah pusat pengundian di daerah Alor Gajah ditutup sementara kira-kira jam 2.30 petang tadi, ekoran kejadian seorang pengundi disahkan positif Covid-19, ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihak Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menerima notifikasi daripada Covid-19 Assessement Centre (CAC) Melekek, selepas keputusan ujian saringan Covid-19 pesakit berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang gejala diterima setelah beliau selesai mengundi.

Menurutnya pihaknya kemudiannya mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat, menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi bagi proses disinfeksi menyeluruh.

“Proses disinfeksi telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba dan pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR juga telah mengambil langkah segera membuka bilik baru kira-kira jam 3 petang bagi menggantikan saluran mengundi berkenaan dan menggunakan peralatan baru.

“Jabatan Kesihatan Melaka memandang serius kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci dan semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat petugas bilik gerakan PKD Alor Gajah.

“Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut dengan menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected].