Kebimbangan terhadap wabak Covid-19 sememangnya berada di minda pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini namun ia tidak menghalang sebilangan mereka untuk keluar menunaikan tanggungjawab.
Tinjauan MalaysiaNow mendapati pengundi masih bersemangat membuang undi di beberapa tempat mengundi.
Di Sekolah Kebangsaan Demang Hussin di Bukit Katil, keadaan agak sesak dengan pengundi beratur di luar sekolah sehingga pukul 10 pagi.
Manakala di Sekolah Menengah Kebangsaan Notre Dame Convent di Kota Laksamana, pengundi pelbagai kaum dan usia turun membuang undi.
Seorang warga emas yang mengundi di sekolah itu, A Logiswari, 61, berkata dia tetap takut dengan Covid-19 apatah lagi pada usianya namun katanya anggungawab tetap tanggungjawab.
“Saya datang tengah hari kerana pagi kebiasaannya agak sesak dengan pengundi.
“Pada waktu tengah hari kurang sedikit, jadi rasa lebih selamat,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.
Trafik agak sesak di kawasan bandar dengan cuaca mendung mengiringi pengundian pada waktu pagi.
Sehingga pukul 12 tengah hari, peratusan mengundi direkodkan pada 36%. Suruhanjaya Pilihan Raya terdahulu menjangkakan 70% pengundi Melaka bakal keluar mengundi hari ini.
217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran dibuka hari inj untuk proses pengundian pada PRN Melaka.