Ketika sekolah di Selangor mula menyambut kepulangan pelajar dan guru selepas lama tidak beroperasi secara normal akibat krisis Covid-19, pengusaha kantin masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang masih sukar diramal, berdepan dengan cabaran mengekalkan perniagaan mereka di samping tidak mahu membazirkan makanan.
Muhammad Irhamshah, 26, mengusahakan kantin di SMK Puchong.
Cabaran terbesarnya ketika ini ialah menganggarkan jumlah makanan untuk disediakan bagi pelajar yang hadir setiap hari.
“Saya hanya pengusaha kantin kecil,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Saya tidak ada margin yang besar, jadi saya perlu tahu berapa banyak makanan yang perlu disediakan.”
Kadangkala, Irhamsyah dan kakitangannya menyediakan makanan untuk 100 pelajar namun hanya 20 orang yang hadir di kantin.
“Sejak beberapa hari lalu, kami terpaksa membuang banyak lebihan makanan kerana kami menjangka banyak pesanan dari pelajar jadi kami sediakan lebih banyak, malangnya hanya segelintir sahaja yang datang beli makanan di kantin,” katanya.
Wan Nor Asmah yang mengendalikan kantin di SMK TTDI Jaya berkata, ketika ini tidak ramai pelajar yang hadir ke sekolah memandangkan program vaksinasi untuk remaja masih dijalankan.
“Ramai pelajar baru-baru sudah dapat vaksin,” kata lelaki berusia 57 tahun itu.
“Ada yang datang ke sekolah selepas itu, tetapi ada juga yang bercuti panjang selepas vaksinasi.
“Kami tidak dapat tentukan siapa yang datang dan siapa yang tidak, jadi sukar untuk kami anggarkan kuantiti makanan yang perlu kami sediakan.
“Jumaat lalu, hanya 50 pelajar yang datang ke sekolah untuk sesi petang, dan hanya enam orang datang ke kantin untuk membeli makanan pada waktu rehat.”
Mengikut anggarannya, kira-kira 300 pelajar Tingkatan Lima datang ke sekolah minggu lepas bersama-sama separuh daripada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Tiga yang menggunakan sistem giliran.
Tetapi bukan semua pelajar yang beli makanan dari kantin.
“Ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka membeli makanan di kantin kerana masih takut dengan Covid-19,” katanya.
Wan Nelisa yang mempunyai seorang anak perempuan Tingkatan Satu adalah salah seorang daripada mereka.
Dia memberitahu MalaysiaNow sentiasa menyediakan bekal makanan untuk anak perempuannya.
“Saya lebih suka masak untuk dia bawa ke sekolah sebab mahu kurangkan pergerakan dia ke tempat sesak,” kata Wan Nelisa.
“Saya rasa lebih yakin dan selamat jika anak perempuan duduk dalam kelas dan makan makanan yang dimasak di rumah.”
Amni Marissa, pelajar Tingkatan Tiga di SMK Bukit Jelutong, juga membawa makanan sendiri ke sekolah kerana ibunya mahu elakkan terlalu banyak kontak dengan pelajar lain.
“Di sini, pelajar masih boleh ke kantin untuk beli makanan, malah kadang-kadang mereka suka berkumpul ramai-ramai,” katanya.
“Walaupun SOP ada, sukar untuk kawal pelajar yang ramai ketika waktu rehat.”
Sistem berbeza
Tinjauan MalaysiaNow di sekitar Selangor mendapati setiap sekolah menggunakan sistem dan pendekatan berbeza untuk mengendalikan makanan di kantin.
SMK Puchong misalnya, menjalankan operasi kantin dengan sistem pesanan.
Sebelum ini ia pernah dijalankan secara dalam talian dengan cara ibu bapa dan pelajar membuat pesanan melalui WhatsApp.
Namun, ia kemudian ditukar kepada sistem “offline” di mana pelajar mengisi borang yang dihantar kepada pengusaha kantin pada awal pagi.
Pada waktu rehat, seorang wakil kelas mengambil makanan dari kantin dan mengagihkannya kepada pelajar di kelas masing-masing.
Di SMK TTDI Jaya pula, pengusaha kantin menganggarkan jumlah makanan yang diperlukan berdasarkan kehadiran harian pelajar yang disusun guru pada akhir sesi pertama.
Pelajar dibenarkan membeli makanan di kantin mengikut SOP sebelum pulang ke kelas untuk makan.
Asmah berkata sistem ini lebih berkesan untuknya berbanding sistem pesanan kerana pelajar gemar melihat makanan sebelum memilih apa yang mereka hendak beli.
Tetapi dia masih perlu berhati-hati dalam membuat anggaran jumlah makanan untuk disediakan setiap hari.
Setakat ini, dia menyediakan makanan yang mencukupi untuk separuh bilangan pelajar sahaja bagi mengelakkan pembaziran.
Cabaran bagi pengusaha kantin bukan sahaja dalam perkarangan sekolah malahan terpaksa dihadapi di luar sekolah kerana harga barangan mentah meningkat di samping kos gaji pekerja yang perlu dibayar.
Menurut Asmah, menjual makanan di kantin semasa pandemik tidak memberikan margin keuntungan yang besar.
Malah, dia perlu membayar pekerjanya dari duit simpanan sendiri.
Selain itu, mencari pekerja juga menjadi masalah bagi dirinya.
“Sebelum ini, banyak pengusaha kantin sekolah mengambil pekerja Indonesia tetapi sejak wabak melanda, ramai pekerja Indonesia balik ke negara asal.
“Sukar sebetulnya, untuk cari pekerja yang ingin buat kerja ini,” katanya.