- Iklan -
Berita

Kedah bawah Mukhriz tawar Dr M 34 ekar tanah Langkawi, kata Najib

Najib turut mempersoalkan harga tanah yang dibayar Mahathir di Putrajaya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Najib Razak hari ini mendakwa kerajaan negeri Kedah semasa beliau menjadi perdana menteri pernah menawarkan pajakan tanah pantai seluas 34 ekar di Langkawi dengan harga RM3,200 setahun kepada Dr Mahathir Mohamad, sebagai respons terhadap serangan bekas mentornya itu berkenaan pendedahan permohonan mendapatkan hartanah percuma daripada kerajaan bernilai RM100 juta.

Najib berkata tawaran itu dibuat pada 2014 ketika pentadbiran Kedah dipimpin Mukhriz Mahathir.

“Masa tawaran tanah Langkawi ini diberi, anak kamu MB Kedah. Betul?” kata bekas perdana menteri itu dalam sebuah hantaran di Facebook.

Najib juga mendakwa anak Mahathir juga diberikan tanah balak seluas 2,471 ekar sambil menambah beliau akan mendedahkan lebih banyak perjanjian tanah sedemikian.

Terdahulu, Mahathir dalam catatan blog berkata Malaysia menjadi bahan ketawa mengenai cara kerajaan melayan Najib walaupun telah disabitkan kesalahan jenayah kewangan.

Beliau merujuk tindakan kerajaan meluluskan penganugerahan hartanah RM100 juta susulan permohonan Najib yang menggunakan Akta Ahli Parlimen (Saraan), di mana bekas perdana menteri itu diberi beberapa pilihan elaun perumahan.

Najib mempertahankan dirinya dengan mengatakan elaun tersebut diperkenalkan oleh Mahathir sendiri.

Terdahulu, Mahathir berkata keputusan kerajaan memberikan ganjaran kepada bekas perdana menteri bukan memberikan kemewahan atau kekayaan kepada bekas perdana menteri, sambil menambah beliau sendiri membeli sebidang tanah di Putrajaya di mana beliau membayar cukai tanah tahunan.

Najib turut mempersoalkan butiran mengenai tanah di Putrajaya tersebut.

“Tanah Putrajaya yang kamu kata kamu ‘bayar’ kerajaan untuk beli itu, berapa luasnya dan berapanya harga yang kamu bayar?” soal Najib.

Dalam pada itu, Najib sekali lagi mendakwa beliau hanya menggunakan haknya dengan memilih salah satu dari tiga lokasi yang ditawarkan kerajaan.

“Apa yang saya dapat sekarang selepas 9 tahun berkhidmat sebagai PM dan menaikkan nilai simpanan negara dari RM800 bilion ke RM2 trilion?” soal Najib lagi yang kini sedang berusaha untuk menggugurkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun kesalahan jenayah berkaitan rasuah.

Pada 12 November MalaysiaNow mendedahkan butiran rancangan kerajaan untuk meluluskan ganjaran hartanah bernilai RM100 juta untuk Najib yang terletak di kejiranan mewah Kuala Lumpur.

Seminggu kemudian, Mahathir membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

Putrajaya kemudiannya berkata keputusan untuk memberi ganjaran kepada Najib tersebut masih belum dimuktamadkan.

Akibat dikecam orang ramai, Najib mengumumkan beliau menarik balik permohonan tanah di Bukit Petaling tersebut.

Najib juga dilaporkan memilih pilihan yang paling mahal dari tiga pilihan ditawarkan Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab dalam proses pemberian kepada bekas perdana menteri.

Sejak tumbang pada 2018, Najib didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan skandal 1MDB.

Tahun lalu, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.

Keputusan rayuannya ditetapkan pada 8 Disember depan.