- Iklan -
Berita

Penyewa rentan pasaran swasta perlukan lebih perlindungan, kata penyelidik

Tidak seperti penyewa di perumahan kerajaan, penyewa B40 di pasaran swasta tidak terima bantuan sewaan ketika pandemik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara bandar Kuala Lumpur. Sewa di ibu negara adalah tinggi berbanding di kawasan-kawasan lain.
Pemandangan dari udara bandar Kuala Lumpur. Sewa di ibu negara adalah tinggi berbanding di kawasan-kawasan lain.

Penyelidik menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak perlindungan kepada golongan rentan yang menyewa di perumahan dalam pasaran swasta, merujuk inisiatif bantuan yang diberikan kepada mereka yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) sepanjang krisis Covid-19.

Aspek pendapatan antara yang paling terjejas apabila sekatan perjalanan dan perintah berkurung dilaksanakan.

Bagi golongan B40 yang menyewa di perumahan awam seperti projek perumahan rakyat (PPR), mereka menerima manfaat yang melegakan apabila kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan mengenakan moratorium sewaan kepada penghuni-penghuni rumah, bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi golongan tersebut.

Pada Mac tahun lepas, 40,000 penyewa PPR dan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat pengecualian bayaran sewa.

Pada September lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan moratorium bayaran sewa penghuni PPR di bawah seliaan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan sehingga akhir tahun 2022, membabitkan 10,000 isi rumah.

Meskipun golongan B40 secara umumnya menerima bantuan-bantuan lain yang ditawarkan kerajaan, bantuan dan kemudahan moratorium sewaan tidak diterima oleh golongan itu yang menyewa di pasaran perumahan swasta.

Ia meskipun tuan rumah mereka ditawarkan manfaat moratorium pukal bayaran pinjaman perumahan.

Kemudahan lain seperti penstrukturan semula pinjaman, Kadar Dasar Semalaman dan pengantaraan (mediation) di bawah Pusat Mediasi Covid-19 juga tidak memberikan manfaat secara terus kepada penyewa.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pensyarah Fakulti Alam Bina dari Universiti Malaya, Ainoriza Mohd Aini pandemik yang melanda negara mengakibatkan ketidaktentuan dan kekeliruan penyewa terhadap risiko, serta respond terbaik yang boleh diambil mereka.

Ainoriza, yang menjalankan kajian terhadap penyewa golongan rentan dalam pasaran perumahan swasta di sekitar Lembah Klang berkata, dapatan kajiannya menunjukkan 13.8% memperuntukkan lebih 30% daripada pendapatan mereka untuk membayar sewa.

Kira-kira 19.2% mula menggunakan wang simpanan bagi tujuan itu manakala 24.4% terpaksa meminta bantuan keluarga dan rakan-rakan.

“Hampir separuh penyewa dalam kajian ini berjumpa dengan tuan rumah untuk berbincang mengenai sewa. Kebanyakan tuan rumah masih meminta bayaran penuh dan sedikit sahaja penywa dapat pengurangan atau penangguhan bayaran sewa.

“Ada juga yang langsung tak minta pengurangan sewa kerana takut diusir keluar, atau gusar pemilik tidak akan membaiki rumah sekiranya ada kerosakan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Seramai 24.4% mengalami tekanan tahap rendah untuk membayar sewa, manakala 49.6% mengalami tekanan pada tahap sederhana dan baki 26.6% mengalami tekanan pada tahap tinggi.

“30% daripada responden tidak mempunyai perjanjian sewaan secara formal dan beberapa penyewa hanya menggunakan kontrak sewa secara lisan.

“Keadaan ini membuatkan penyewa rasa tidak terlindung apabila mereka ingin meminta pengurangan sewa,” katanya.

Justeru, Ainoriza berkata panduan rundingan perlu untuk memastikan situasi menang-menang untuk penyewa dan tuan rumah, selain memastikan kestabilan dalam pasaran perumahan.

“Sekiranya krisis kesihatan ini berlaku lagi, kerajaan boleh perkenalkan bantuan sewaan kepada golongan ini melalui Akta Sewaan Kediaman (RTA),” katanya.

RTA dijadualkan dibentang pada tahun depan.

Ia akan digubal untuk melindungi kepentingan penyewa dan tuan rumah.

Ainoriza memaklumkan terdapat kes pengusiran dalam kalangan responden kajiannya, namun tidak ramai.

Dalam pada itu, peguam dalam bidang hartanah, Ahmad Ziadi Zaidon berkata, sehingga kini, beberapa peruntukan undang-udang semasa boleh digunakan untuk melindungi penyewa daripada dihalau keluar antaranya Akta Kontrak 1950, Akta Bantuan Khas 1950 dan Akta Distress 1951.

“Saya lebih berpendapat RTA sewajarnya lebih menyeluruh dalam semua aspek yang mana saya percaya bahawasanya masyarakat umum masih lagi belum benar-benar cakna tentang Undang-undang berkaitan perjanjian sewaan, atau kos terlalu tinggi dan tidak berbaloi diteruskan di tribunal,” katanya.

Menerusi RTA, penyewa boleh memohon agar terma yang melindungi kepentingan mereka dimasukkan dalam perjanjian sewaan.

“Tuan rumah mempunyai hak untuk tidak masukkan terma yang merugikannya.

“Selain itu, akses mendapatkan perjanjian yang baik sangat mahal, atau perjanjian itu tidak mempunyai kelayakan minima undang-undang.

“RTA diperlukan untuk mengisi kekosongan ini,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.