Kementerian luar Malaysia menggandakan usaha diplomatik dengan Singapura dalam usaha merayu republik itu menyelamatkan nyawa Nagaenthran K Dharmalingam di mana hukuman gantung yang dihadapinya menarik perhatian antarabangsa.
Sumber diplomatik berkata terdapat “komunikasi yang sangat dalam” antara beberapa pegawai Putrajaya dan rakan sejawat mereka di Singapura sejak beberapa hari kebelakangan ini, selain surat dari Menteri Luar Saifuddin Abdullah kepada rakan sejawatnya dari Singapura Vivian Balakrishnan.
Wisma Putra juga sudah memberi taklimat kepada pemimpin kanan di kedua-dua negara sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjelaskan pendiriannya berhubung kes Nagaentran.
“Perbualan dan panggilan telefon dilakukan sejak beberapa hari lalu terutama selepas Nagaenthran didapati mula beransur pulih dari Covid-19,” kata sumber itu.
Ini bukan kali pertama Wisma Putra terlibat dalam usaha rayuan di luar mahkamah bagi pihak warganegaranya yang menghadapi hukuman mati di Singapura, di mana puluhan banduan bilik akhir warga Malaysia yang berharap hukuman mereka diringankan atau mendapat pengampunan presiden.
Kumpulan hak asasi manusia berkata kebanyakan banduan ini adalah daripada keluarga miskin yang diperdaya untuk menjadi keldai dadah dengan janji bayaran yang lumayan.
Kes Nagaenthran, bagaimanapun menjadi perhatian antarabangsa selepas butiran mengenai keadaan mentalnya diketahui umum.
Diagnosis keupayaan mental yang dikemukakan semasa perbicaraannya mendapati Nagaentran mempunyai IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 di mana seseorang individu boleh diisytiharkan sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.
Beberapa perjanjian antarabangsa, yang turut ditandatangani Singapura melarang hukuman mati bagi OKU mental.
Namun begitu, Nagaenthran tetap dijatuhkan hukuman mati, di mana dia dijadualkan menjalani hukuman pada 10 November lalu selepas kalah dalam beberapa rayuan.
Namun nasib menyebelahinya, apabila Nagaenthran disahkan positif Covid-19 ketika peguam terpaksa berhempas pulas mengejar tarikh akhir yang terlalu awal ketika pelaksanaannya ditangguhkan.
Perbicaraan baru untuk rayuan terakhirnya di mahkamah Singapura telah ditetapkan pada 30 November ini.
Sumber itu berkata rayuan kepada Singapura tidak mudah, sambil menambah Wisma Putra perlu “berhati-hati” dalam menyampaikan permohonan mereka untuk merayu nyawa warganya.
“Objektif utama adalah untuk memastikan Nagaentran terlepas daripada hukuman gantung.
“Jadi kita perlu berhati-hati mengenai sensitiviti pihak yang terlibat,” kata sumber itu, sambil menambah setakat ini, pegawai berhati-hati untuk tidak memberi gambaran Malaysia mempersoalkan atau campur tangan dalam badan kehakiman Singapura.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah antara individu yang secara peribadi merayu untuk nyawa Nagaentran diselamatkan.
Bilionair Britain terkemuka Richard Branson juga turut menulis rayuan peribadi kepada presiden Singapura Halimah Yacob, mengatakan kes Nagaenthran hanyalah satu daripada kisah orang miskin yang terpaksa menghantar dadah sementara dalang sebenarnya terlepas daripada hukuman.
“Tahun demi tahun, orang ramai hadapi hukuman gantung, ditembak mati, atau – di Filipina yang dipimpin Duterte – skuad kematian yang tidak telus menjalankan hukuman bagi jenayah berkaitan dadah.
“Namun, perdagangan dadah global terus berkembang, dan semua jenis dadah terlarang lebih mudah didapati di seluruh dunia berbanding mana-mana titik lain dalam sejarah,” kata Branson.