- Iklan -
Berita

Ismail akan adakan lawatan rasmi pertama ke Singapura ketika bantahan berhubung Nagaenthran meningkat

Beliau dijangka bertemu Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden Halimah Yacob.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan pertama ke Singapura pada 29 November, ketika bantahan meningkat terhadap hukuman mati ke atas warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam dan rayuan kerajaan supaya pihak berkuasa republik itu menyelamatkan nyawanya.

Dalam sebuah kenyataan, Wisma Putra berkata lawatan Ismail adalah jemputan daripada rakan sejawatnya Lee Hsien Loong sempena pelancaran Laluan Vaksinasi Darat (VTL-land) antara Malaysia dan Singapura.

Beliau juga dijangka bakal bertemu dengan Presiden Singapura Halimah Yacob yang digesa hebat untuk memberikan pengampunan kepada Nagaenthran.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Wisma Putra sedang meningkatkan usaha diplomatik dengan Singapura supaya pihak berkuasa negara itu menyelamatkan nyawa Nagaenthran, yang akan memohon rayuan bagi kali terakhir pada 30 November.

Pada awalnya, Nagaenthran dijadualkan akan menjalani hukuman mati pada 10 November selepas gagal dalam beberapa kali dalam rayuannya.

Namun dia didapati positif Covid-19 ketika peguamnya mengejar tarikh akhir penangguhan pelaksanaan hukumannya.

Ismail dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah secara peribadi merayu bagi pihak Nagaenthran, sementara petisyen dalam talian mengumpul puluhan ribu tandatangan.

Nagaentran ditahan pada 2009 kerana membawa 43 g heroin ke Singapura, negara yang memiliki undang-undang kesalahan dadah paling keras di dunia.

Kes beliau menjadi perhatian dunia selepas butiran berhubung keadaan kesihatan mentalnya didedahkan.

Diagnosis keupayaan mentalnya mendapati dia memiliki IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 di mana seseorang individu itu boleh diisytiharkan sebagai kurang keupayaan intelek.

Beberapa perjanjian antarabangsa, yang turut ditandatangani Singapura melarang hukuman mati bagi OKU mental.

Wisma Putra berkata Ismail dan Lee akan mengadakan perbincangan kerjasama dua hala antara dua negara, termasuk beberapa peluang batu untuk pemulihan berkesan bagi menangani impak pandemik Covid-19 .

“Kedua-dua perdana menteri akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.