Afghanistan yang ditunjangi Taliban mahu menunjukkan komitmen terhadap pembaharuan di negara itu namun tidak mampu berbuat demikian kerana hanya baru tiga bulan menguasai negara tersebut, kata Penasihat khas Wisma Putra mengenai Afghanistan, Ahmad Azam Ab Rahman.
Beliau berkata, “Taliban 2.0” tidak sama dengan yang memegang tampuk pemerintahan negara itu sebelum penjajahan Amerika Syarikat (AS) pada 2001.
“Taliban menyatakan bahawa mereka baru berkuasa tidak sampai tiga bulan. Kata mereka siapa yang boleh tadbir negara dalam masa tiga bulan dan menjangkakan semua selesai dalam masa tiga bulan?,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Taliban juga menyatakan bahawa kerajaan sekarang bersifat interim dan bukan ‘fully-fledge’. Mereka dalam proses mengenalpasti individu yang profesional dan boleh menguatkan kerajaan yang ada sekarang.”
Katanya, perbezaan antara Taliban lama dan baru sama bezanya antara masyarakat Melayu pada 1970-an yang lebih tertutup dan jumud berbanding pada tahun 2021 yang lebih terbuka.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Kamarudin Jaffar pada 22 November memaklumkan kepada Parlimen bahawa kerajaan Malaysia berhubung dengan kumpulan itu bagi membincangkan tentang demokrasi dan hak asasi manusia.
Taliban mengambil alih Afghanistan susulan pengunduran tergesa-gesa tentera AS pada Ogos lalu setelah 20 tahun menduduki negara itu.
Ramai pihak melahirkan kebimbangan terhadap ideologi radikal kumpulan itu yang pernah meletupkan patung Buddha di daerah Bamiyan.
Pendekatan radikal seperti mewajibkan orang lelaki menyimpan janggut serta pemakaian burqa oleh wanita antara polisi yang masih diingati masyarakat dunia.
Kumpulan itu dibentuk oleh golongan pelajar sekolah agama tradisional selepas berperang melawan penjajahan Kesatuan Soviet di Afghanistan pada 1979.
Mereka menguasai Afghanistan sehingga dijatuhkan oleh tentera AS yang menduduki negara itu selepas serangan 11 September.
Azam mengetuai usaha “fact-finding” Malaysia terhadap gerakan Islam itu yang diadakan pada 8 November lalu di Qatar.
Beliau yang juga pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkata, tiga isu utama menjadi fokus pertemuan beliau dengan Taliban iaitu kerajaan inklusif, kedudukan wanita dan soal demokrasi.
“Mereka menegaskan bahawa mereka terbuka dengan semua itu namun memerlukan masa. Ini kerana ada kawasan yang benar-benar konservatif sehingga tidak membenarkan wanita ke sekolah atau bekerja.
“Kami menghantar pemerhati dari Global Peace Mission ke sana selama sebulan, memang keadaan di sana normal. Cuma di kawasan luar bandar masih sama kerana tidak terdedah dengan dunia luar,” katanya.
Katanya, berdasarkan pertemuan dengan kumpulan itu, Taliban memerlukan masa untuk mengubah masyarakat luar bandar dan tidak boleh memaksa pembaharuan dilakukan.
Ini kerana menurut pihak Taliban, penduduk dan puak-puak di kawasan itu akan berperang dengan mereka jika dipaksa mengubah cara hidup mereka secara drastik.
Justeru, Azam berkata bukanlah polisi rasmi Taliban untuk tidak membenarkan wanita bersekolah atau bekerja.
Mengulas mengenai laporan media mengenai situasi kebuluran dan kesukaran rakyat Afghanistan, katanya ia merupakan kes-kes terpencil.
“Naratif Taliban adalah naratif ‘demonization’ oleh kuasa dan media Barat.
“Berita mengenai rakyat Afghanistan menjual anak contohnya, ia dipaparkan seolah-olah semua rakyat Afghanistan terpaksa jual anak,” katanya.
Azam merujuk kepada berita kepayahan hidup rakyat Afghanistan yang dijaja media Barat selepas beberapa bulan pengunduran tentera AS.
Azam menambah, Taliban turut mengadu kepadanya bahawa suara mereka tidak didengari dan tiada siapa mahu membantu menyampaikan pandangan.
Berdasarkan perkembangan ini, katanya Malaysia dan dunia masih belum dapat menentukan pendirian terhadap kerajaan Afghanistan.
Bagaimanapun, usaha Malaysia untuk berhubung dengan Taliban dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan menjadikannya lebih kehadapan berbanding OIC dan negara-negara Islam lain.
“Kita lebih responsif dan antara yang terawal menghantar bantuan. Pelantikan saya ini juga hampir kepada melantik duta.
“Ada kemungkinan juga OIC menggunakan dapatan kita untuk membuat keputusan sama ada mahu mengiktiraf kerajaan Afghanistan, bahkan saya berkongsikan maklumat pertemuan itu kepada wakil beberapa negara Islam,” katanya.
Sehingga kini, Taliban sudah berbincang dengan beberapa negara antaranya China, Kesatuan Eropah dan AS sendiri.
Pakistan pula dilaporkan mengalu-alukan pertemuan kedua Taliban-AS di Doha, Qatar.