Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg yakin gabungan itu akan dapat memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan.
“Sekarang adalah masa untuk kita fokus,” katanya pada majlis pelancaran di Kuching.
“18 Disember akan menjadi ‘tendangan penalti’ bagi GPS untuk jaringkan golnya. Dalam satu semangat, kita, GPS, boleh sapu bersih semua 82 kerusi.”
PRN Sarawak yang sudah lama dinantikan, diumumkan pada 24 November lalu, dengan 12 hari diperuntukkan untuk berkempen selepas hari penamaan calon pada 6 Disember.
82 kerusi di DUN Sarawak, menjadikannya sebagai terbesar di negara ini.
1.2 juta warga Sarawak layak mengundi menjelang hari pilihan raya.
Abang Johari juga turut mengulangi keyakinannya bahawa GPS akan memenangi PRN dengan margin selesa, selain turut berterima kasih kepada presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kerana tidak menyertai PRN kali ini.
Beliau berkata keputusan Muhyiddin itu selaras dengan kehendak rakyat negeri itu, yang mahu ditadbir parti berpangkalan di Sarawak.
“Saya mesti berterima kasih kepada rakan kita dari Kuala Lumpur, Bersatu, kerana tidak meletakkan calon di Sarawak,” katanya.
“Kami mesra tetapi tegas. Ini menunjukkan hubungan baik dengan parti seperti Bersatu.”