- Iklan -
Berita

Ujian pengesanan RTK-Antigen, RT-PCR mampu kesan varian Omicron

Menurut Khairy Jamaluddin, perkara itu dimaklumkan pakar IMR namun kajian masih lagi dilakukan bagi mengetahui lebih mendalam berkenaan varian tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kajian lanjut mengenai varian Omicron bukan hanya mengenai ujian pengesanan tetapi juga soal keberkesanan vaksin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kajian lanjut mengenai varian Omicron bukan hanya mengenai ujian pengesanan tetapi juga soal keberkesanan vaksin. Gambar: Bernama

Ujian pengesanan Covid-19, menggunakan RTK-Antigen dan RT-PCR adalah berkesan untuk mengesan varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pakar daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) namun kajian masih lagi dilakukan bagi mengetahui lebih mendalam berkenaan varian tersebut.

“Ujian RT-PCR sepatutnya ok, tapi dari segi keberkesanan RTK-Antigen kami masih mengkajinya tetapi setakat ini ia masih dapat mengesan varian Omicron ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas Covid-19 Institut Kesihatan Negara hari ini.

Katanya kajian lanjut mengenai varian itu bukan hanya mengenai ujian pengesanan tetapi juga soal keberkesanan vaksin.

“Kami akan dapat laporan daripada pengeluar vaksin yang sedang melaksana kajian dengan pantas sama ada vaksin mereka berkesan terhadap varian tersebut,” katanya sambil menambah laporan itu dijangka diperoleh dalam seminggu ke dua minggu lagi.

“Soal ketiga kami kena lihat adalah keganasan Omicron ini dan kami dapat laporan awal di Afrika Selatan yang merupakan negara yang vaksinasi mereka rendah tetapi Omicron ini hanya telah menyebabkan gejala yang sederhana. Ada beberapa berita baik, tetapi sekali lagi kami tidak tahu dan kami perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Pada masa sama, Khairy berkata terlalu awal untuk menjangkakan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk dikenakan semula susulan kemunculan Omicron.

“Terlalu awal, rakyat marah dengar PKP ini dan penyelidik sedang meneliti perkara ini,” katanya.

Mengenai gelembung perjalanan dan keperluan kuarantin di rumah dan hotel bagi pengembara yang kembali dari negara yang dikategorikan sebagai risiko, katanya perkara itu akan dibincang dengan ketua pengarahnya petang ini.

“Ada beberapa opsyen yang akan dipertimbangkan untuk dapat kita perketatkan lagi kawasan sempadan kita,” katanya.

Mengenai Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara Indonesia, Thailand dan Brunei, perbincangan masih lagi berlangsung dengan mengambil kira kewujudan varian baharu.

Sementara itu bagi prosedur operasi standard untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Khairy berkata maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diperoleh esok dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular