Menjadi seorang penghantar makanan bagi aplikasi serba ada Grab, sering disangka sebagai pekerjaan golongan muda yang memerlukan kecergasan fizikal kerana sentiasa perlu bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Malah, petunjuk prestasi utama (KPI) bagi penghantar makanan atau “rider” juga sangat bergantung kepada kepantasan menghantar makanan kepada pelanggan mengikut masa yang ditetapkan.
Namun begitu, cabaran ini bukanlah penghalang bagi warga emas, Zakaria Abdul Wahab, 65, apabila beliau mengakui sangat seronok melakukan kerja itu.
Zakaria menceritakan sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu untuk sebuah syarikat swasta selama 21 tahun, bagaimanapun sudah bosan dengan pekerjaannya itu dan ingin mencari pekerjaan yang bersifat lebih bebas.
“Seronoknya menjadi rider ialah saya yang tentukan jadual pekerjaan dan ini membuatkan saya rasa sangat bebas,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di Kuala Lumpur.
“Saya bekerja setiap hari bermula jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam dan melakukan penghantaran sekitar kawasan Mont Kiara atau kawasan berdekatan dengan rumah di Pandan Jaya.”
Menurut Zakaria yang sudah tiga bulan menjadi penghantar makanan Grab, KPI yang dia tetapkan sebagai penghantar makanan adalah meraih pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM100 sehari dan sasaran itu baginya tidaklah begitu sukar.
“Tak susah nak capai RM100 sehari, cuma saya tidak akan keluar rumah apabila cuaca hujan, itu sahaja penghalang saya.
“Saya bersyukur pelanggan yang saya terima semuanya baik, jika berlaku kelewatan, saya akan maklumkan kepada mereka, dan kebiasaannya maklum balas yang saya terima amat positif,” katanya.
Sebelum ini, kisah Zakaria sebagai seorang penghantar makanan warga emas tular di laman sosial TikTok apabila seorang pelanggan yang memesan makanan menerusi aplikasi GrabFood memuat naik sebuah videonya sedang menghantar makanan.
Video yang memaparkan Zakaria berjalan secara perlahan dan membongkok itu meraih perhatian ramai apabila menerima tontonan hingga ratusan ribu dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Bagi Zakaria, perkara yang paling membuatkannya terharu ialah apabila orang ramai secara tidak putus berkongsikan kata-kata semangat kepadanya selain menghulurkan sumbangan wang tunai.
“Saya doakan yang terbaik kepada semua yang menghulurkan bantuan kepada saya. Semoga Allah murahkan rezeki anda.”
Mampu sara hidup
Dalam pada itu, Zakaria menceritakan, bekerja sebagai penghantar makanan menyebabkannya mampu untuk menanggung kos perbelanjaan bulanannya selain membayar bil air dan elektrik serta siaran televisyan kabel Astro.
“Semua komitmen saya yang lain seperti bayaran pinjaman rumah dan kereta sudah selesai. Jadi saya tidak begitu terbeban,” katanya.
Di samping itu, Zakaria turut menafikan beberapa dakwaan pengguna media sosial yang menyatakan dia menjadi penghantar makanan adalah disebabkan anak-anaknya tidak mahu bekerja dan perlu menanggung perbelanjaan keluarganya.
Zakaria menjelaskan, dua anaknya berusia 32 dan 24 tahun yang masih menetap bersamanya itu sebelum ini mempunyai pekerjaan, tetapi mereka ditamatkan perkhidmatan disebabkan penularan Covid-19 sejak tahun lepas.
“Anak saya yang berusia 32 tahun sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan manakala yang berusia 24 pula bekerja dalam bidang perhotelan.
“Mereka kehilangan kerja disebabkan Covid-19.
“Saya tidak akan paksa mereka lakukan kerja yang mereka tidak minat. Saya galakkan hanya mencari pekerjaan yang ‘sejiwa’ dengan hati, barulah rasa seronok melakukan tugasan yang diberi,” katanya.
Selain itu, Zakaria berkata, usianya juga tidak menjadi penghalang untuk berkawan “rider” lain terutamanya yang berusia dalam lingkungan 20-an.
“Mereka (rider lain) anggap saya sebagai kawan juga, apabila selalu bersama mereka, saya rasa sangat muda,” katanya berseloroh.
“Nasihat saya kepada orang ramai ialah carilah pekerjaan yang anda minat dan jangan jadikan usia sebagai penghalang untuk anda membuat sesuatu perkara yang diminati.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.